Seorang lelaki berusia 31 tahun yang didakwa meragut rantai emas daripada seorang wanita di Lorong 25 Geylang akan didakwa di mahkamah pada 9 Februari.
Polis berkata mereka dimaklumkan mengenai kes itu pada 7 Februari, kira-kira 5.16 petang.
Melalui siasatan dan dengan bantuan gambar-gambar dari kamera litar tertutup (CCTV) dan kamera polis, pegawai dari Bahagian Polis Bedok mengenal pasti identiti lelaki itu dan menahannya dalam tempoh tiga jam selepas laporan itu.
Rantai emas yang dicuri itu ditemui semula dan ditahan sebagai bahan bukti kes.
Jika didapati bersalah ragut, lelaki itu berdepan hukuman penjara antara setahun dan tujuh tahun, serta sebatan.
Polis berkata mereka “tidak akan bertolak ansur dengan tindakan jenayah sedemikian dan akan berusaha keras untuk menangkap pesalah sedemikian dan menangani mereka mengikut undang-undang”.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg