Seorang lelaki berusia 32 tahun ditahan menyusuli satu serbuan oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) pada 18 Mei, yang membawa kepada rampasan sejumlah dadah yang besar.
Dadah itu, dianggarkan bernilai lebih $707,000, termasuk 5.8 kilogram ganja dan 1,582 gram Ice, atau methamphetamine.
Jumlah ganja dan Ice yang dirampas itu boleh memenuhi ketagihan seramai 1,730 penagih selama seminggu, kata CNB pada 21 Mei.
Pegawai CNB menangkap warga Singapura itu di tingkat bawah sebuah blok kediaman di sekitar Jurong West Street 81 pada petang 18 Mei.
Beg yang dibawanya didapati mengandungi kira-kira 135 gram Ecstasy, 756 gram ganja, 1,065 gram Ice, 37 setem LSD (lysergik asid diethylamide), 365 tablet Erimin-5 dan 84 pod vape yang disyaki mengandungi tetrahydrocannabinol (THC).
Dia diiring ke kereta sewanya di sebuah tempat letak kereta bertingkat berhampiran dan pegawai menemui 5,052 gram ganja dan kira-kira 517 gram Ice di situ.
Pengarah bahagian perisikan CNB, Timbalan Penolong Pesuruhjaya Aaron Tang, berkata:
“Anggaran nilai jumlah besar dadah ini... menunjukkan dengan jelas bahawa keprihatinan pengedar dadah hanyalah untuk mengaut keuntungan sebanyak mungkin, tidak kira berapa banyak kehidupan boleh dimusnahkan akibat dadah, baik penagih dadah mahupun keluarga dan orang tersayang mereka.
“Pengedaran dadah adalah untuk mengaut keuntungan daripada kesengsaraan yang ia cetuskan ke atas orang lain.”
Beliau menambah bahawa CNB akan terus membanteras sindiket dan penyeludup.
Angka yang dikeluarkan CNB pada 14 Februari menunjukkan bilangan penyalah guna dadah yang ditangkap pada 2023 meningkat 10 peratus kepada 3,101 orang, berbanding 2,826 pada 2022.
Dalam kalangan mereka yang ditangkap pada 2023, 944 adalah penyalah guna baru – bertambah 18 peratus daripada 802 pada 2022.
Bilangan pengguna ganja yang ditangkap adalah yang tertinggi dalam sedekad, melonjak 17 peratus kepada 277 pada 2023, daripada 236 pada 2022.
Mereka yang didapati bersalah mengedar lebih 250 gram methamphetamine atau 500 gram ganja boleh menghadapi hukuman gantung mandatori.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg