Seorang pelajar lelaki Menengah 2 adalah antara 159 suspek pesalah dadah yang ditahan oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) dalam operasi antidadah seluruh negara yang berlangsung dari 6 hingga 17 Mei.
Sekitar 937 gram heroin, 376g Ice, 161g ganja, enam gram ketamin, 102 tablet Yaba, 32 tablet Ecstasy, 22 tablet Erimin-5, satu cop LSD (lysergic acid diethylamide), tiga botol cecair yang disyaki mengandungi GHB (gamma-hydroxybutyrate) dan empat pasu pokok ganja dirampas.
Dadah yang dirampas dalam operasi serata negara yang meliputi Ang Mo Kio, Bukit Batok, Fernvale, Geylang Bahru, Hougang, Pasir Ris, Sembawang, Teck Whye and Yishun itu bernilai sekitar $221,000.
Dalam salah satu operasi itu, pegawai CNB menyerbu unit kediaman di Fernvale Road pada 6 Mei dan menahan dua warga Singapura, seorang bapa dan anak lelakinya (pelajar Menengah 2 itu) – masing-masing berusia 52 dan 14 tahun – yang disyaki mengedar dan mengambil dadah.
Hasil pemeriksaan, CNB menemui sejumlah dadah jenis Ice dan heroin dan pelbagai peralatan berkaitan dadah.
Siasatan awal mendapati lelaki itu pernah memberi dadah kepada anaknya.
“Sekitar dua perlima daripada mereka yang ditahan dalam operasi serata negara ini berumur bawah 30 tahun, dengan seorang daripada penyalah guna dadah berumur semuda 14 tahun,” kata Penolong Pesuruhjaya Sng Chern Hong, Timbalan Pengarah CNB (Dasar & Pentadbiran).
CNB juga ingin mengingatkan orang ramai bahawa menanam pokok ganja adalah satu kesalahan.
Sekitar awal pagi pada 16 Mei, pegawai CNB menyerbu sebuah unit kediaman di Yishun Avenue 3 dan menahan seorang lelaki warga Singapura berusia 18 tahun.
Satu pasu pokok ganja dan tiga pasu mengandungi sisa-sisa tumbuhan ganja yang telah kering ditemui dalam almari di bilik tidur lelaki itu.
Pelbagai peralatan dadah dan peralatan menanam tumbuhan termasuk tanah dan organik kompos turut ditemui.
Siasatan awal mendapati lelaki itu telah cuba menanam tanaman ganja selama sebulan.
Menurut Encik Sng, di bawah Seksyen 10 Akta Penyalahgunaan Dadah 1973, adalah menjadi kesalahan bagi seseorang untuk mengusahakan mana-mana tumbuhan daripada jenis genus cannabis.
Individu yang disabit menanam pokok ganja akan menghadapi hukuman penjara minimum tiga tahun atau denda $5,000 atau kedua-duanya sekali.
Dalam operasi itu juga, pegawai CNB menemui kanak-kanak berusia setahun yang sedang berada di unit kediaman seorang wanita berusia 39 tahun yang disyaki telah menyalahgunakan dadah.
Kanak-kanak itu telah diletakkan di bawah jagaan seorang saudara perempuan wanita itu.
Encik Sng menambah: “Penyalahgunaan dadah dalam kalangan keluarga dan antara individu berbeza generasi adalah sesuatu yang jelas dapat dilihat.
“Ini adalah bukti bahaya dan kemusnahan yang dibawa dadah ke atas keluarga dan masyarakat.”
Ini katanya, merupakan mesej utama yang disampaikan pada Hari Memperingati Mangsa Dadah yang pertama kali diadakan pada 17 Mei 2024.
Ia juga merupakan peringatan bahawa kita tidak boleh bertolak ansur mengenai pendekatan toleransi sifar terhadap dadah di negara ini, ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg