Seorang pemandu kereta lelaki berusia 61 tahun sedang membantu polis dalam siasatan menyusuli satu kemalangan melibatkan sebuah kereta dan motosikal di MacPherson pada 22 Jun.
Satu video kemalangan tersebut yang tular di kumpulan Facebook SG Road Vigilante menunjukkan sebuah kereta sedang membelok ke kanan di simpang MacPherson dan Upper Aljunied.
Satu perlanggaran melibatkan kededua kenderaan itu berlaku ketika kereta itu sedang melintasi simpang tersebut.
Akibatnya, penunggang dan pembonceng motosikal itu tercampak ke atas kereta itu sebelum jatuh ke atas jalan raya.
Polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan ia dimaklumkan mengenai kemalangan itu sekitar 3.10 petang pada 22 Jun, lapor The Straits Times (ST).
Penunggang motosikal berusia 39 tahun dan pembonceng berusia 19 tahun itu berada dalam keadaan sedar semasa dikejarkan ke hospital, menurut polis.
Pemandu kereta tersebut sedang membantu siasatan, tambahnya.
Kemalangan jalan raya telah meragut 136 nyawa pada 2023, melonjak 25.9 peratus berbanding 108 kematian pada 2022.
Penunggang dan pembonceng motosikal membentuk separuh daripada semua kematian jalan raya, manakala pejalan kaki warga emas membentuk hampir 20 peratus daripada jumlah kematian jalan raya.
Walaupun motosikal membentuk kurang 15 peratus daripada jumlah kenderaan di Singapura, penunggang dan pembonceng motosikal terlibat dalam lebih separuh daripada semua kemalangan jalan raya pada 2023.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg