Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki elak khidmat negara guna pasport palsu M’sia lebih 800 kali di pusat pemeriksaan

Jul 14, 2025 | 5:34 PM
Low Eng Kheng dijatuhkan hukuman penjara selama lapan bulan dan 18 minggu selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan di bawah Akta Imigresen.
Low Eng Kheng dijatuhkan hukuman penjara selama lapan bulan dan 18 minggu selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan di bawah Akta Imigresen. - Foto FAIL

Seorang rakyat Singapura yang cuba mengelak daripada menjalani khidmat negara (NS) pada tahun 1990-an telah menggunakan pasport palsu Malaysia untuk keluar masuk ke Republik ini bagi menyembunyikan identitinya daripada pihak berkuasa.

Sepanjang tempoh lima tahun dari 2006 hingga 2011, Low Eng Kheng, 60 tahun, menggunakan pasport palsu tersebut sebanyak 876 kali di pelbagai pusat pemeriksaan di Singapura.

Pada 11 Julai, dia dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan 18 minggu selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan di bawah Akta Imigresen.

Mahkamah dimaklumkan bahawa pada awal 1990-an, Low telah meninggalkan Singapura ke Malaysia kerana tidak mahu menunaikan tanggungjawabnya sebagai anggota khidmat negara (NSman) yang bersedia untuk dikerah.

Dia menetap di Malaysia dan tidak kembali ke Singapura, dan pasport Singapuranya telah tamat tempoh pada Jun 2000.

Pada 2006, Low ingin melawat keluarganya di Singapura kerana kesihatan ibunya semakin merosot, tetapi takut menggunakan identiti sebenar kerana percaya dirinya dikehendaki pihak berkuasa akibat gagal menunaikan perkhidmatan negara.

Dia kemudian membayar RM45,000 ($13,543) kepada individu tidak dikenali untuk mendapatkan pasport Malaysia yang mengandungi gambarnya tetapi dengan butiran seorang individu bernama “Chong Poh Yin” dan tarikh lahir yang berbeza.

Antara 2008 dengan 2010, Low memperoleh tiga lagi pasport Malaysia palsu yang menggunakan gambarnya, tetapi masih memaparkan butiran “Chong”. Dia membayar RM10,000 bagi setiap pasport tersebut kepada individu sama.

Low pertama kali menggunakan pasport tersebut untuk masuk ke Singapura pada 7 Ogos 2006.

Selepas itu, dia sering berulang-alik antara Singapura dengan Malaysia menggunakan keempat-empat pasport itu.

Kali terakhir dia masuk ke Singapura dengan pasport itu adalah pada 2 Mei 2011.

Antara Mac dengan Mei 2011, Low juga memberikan maklumat palsu sebanyak 59 kali dalam borang ketibaannya kepada pegawai imigresen — termasuk nama, tarikh lahir dan negara asalnya.

Pada September 2023, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) memulakan siasatan terhadap Low setelah dia dikenalpasti sebagai individu yang memiliki pelbagai identiti. Bagaimana jenayah ini terbongkar tidak dinyatakan dalam dokumen mahkamah.

Low telah ditangkap pada Ogos 2024.

Pegawai pendakwa raya kanan ICA, Penolong Penguasa Kanan Encik Ganeshvaran menekankan bahawa keputusan Low untuk melarikan diri dari Singapura dilakukan secara sengaja kerana dia tidak mahu menyempurnakan tanggungjawab NS-nya.

Dia kemudian menyembunyikan identiti sebenar bagi mengelak pihak berkuasa.

Dalam rayuannya, peguam bela Encik Thomas Tham berkata bahawa anak guamnya tidak menggunakan pasport tersebut untuk melakukan jenayah di Singapura.

“Sebaliknya, dia datang ke Singapura sebagai pemandu untuk menghantar orang ke sana sini demi mencari nafkah bagi isteri dan anak-anaknya. Jumlah penggunaan pasport yang tinggi itu berpunca daripada sifat pekerjaannya sebagai pemandu,” kata Tham.

Dalam kenyataan pada 11 Julai, jurucakap ICA menyatakan bahawa sejak Julai 2020, sistem pemeriksaan biometrik pelbagai kaedah telah dilaksanakan di pusat pemeriksaan untuk mengesan dan menolak kemasukan individu dengan identiti palsu atau berganda.

“ICA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba memasuki Singapura menggunakan identiti palsu atau berlainan daripada kunjungan sebelumnya,” kata jurucakap itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg