Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SPF: Lelaki ditembak polis di Taman Pasir Ris bersenjata

Bawa alat yang diubah suai jadi penyembur api, buat panggilan palsu untuk perdaya polis ke lokasinya dengan niat bahayakan pegawai
Nov 8, 2024 | 8:40 PM
Alat yang diubah suai menjadi penyembur api (kanan) dan pisau yang dirampas dari lelaki itu di Taman Pasir Ris. Lelaki itu mengalami luka tembakan di lengan kiri dan perut.
Alat yang diubah suai menjadi penyembur api (kanan) dan pisau yang dirampas dari lelaki itu di Taman Pasir Ris. Lelaki itu mengalami luka tembakan di lengan kiri dan perut. - Foto ST

Seorang lelaki yang ditembak seorang pegawai polis di Taman Pasir Ris mempunyai sebuah alat yang diubah suai menjadi penyembur api dan dipercayai berniat membahayakan pegawai polis.

Lelaki berusia 42 tahun itu pernah melanggar undang-undang dan ada waran tangkapan ke atasnya, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Divisyen Bedok pada 8 November.

Lelaki itu, menurut SPF, membuat panggilan palsu kepada polis sekitar 6 pagi pada 8 November dan menyatakan seorang wanita sedang duduk di belepas menara Taman Pasir Ris.

Tujuannya ialah memperdaya pegawai polis agar ke tempat itu.

Menurut SPF, empat pegawainya yang dikerahkan ke sana tidak menemui sesiapa pun.

“Sedang mereka memeriksa kawasan itu, para pegawai tersebut melihat seorang lelaki di sebuah pondok berhampiran.

“Apabila dihampir pegawai, lelaki itu mengeluarkan sejenis peranti yang diubah suai yang memancarkan api ke arah mereka.

“Para pegawai kemudian mengeluarkan senjata mereka dan memerintahkan lelaki itu supaya berhenti dan meletakkan peranti diubah suai itu. Bagaimanapun, dia enggan mematuhinya walaupun pelbagai amaran diberi dan terus mara ke arah pegawai dengan peranti tersebut.

“Memandangkan terdapat ancaman segera terhadap keselamatan mereka, seorang pegawai berusia 30 tahun melepaskan tembakan ke arah lelaki itu. Lelaki itu jatuh ke tanah dan segera ditangkap oleh pegawai,” kata SPF.

Para pegawai itu melakukan pemeriksaan dan menemui sebilah pisau berdekatannya.

Lelaki itu mengalami luka tembakan di lengan kiri dan perutnya.

Para pegawai itu kemudian memberi pertolongan cemas kepada lelaki berkenaan sebelum Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) tiba.

Dia dibawa ke hospital dalam keadaan sedar dan kemudian menjalani pembedahan.

Seorang pegawai polis berusia 24 tahun mengalami kesan melecet dan dirawat di tempat kejadian, ujar SPF.

“Siasatan awal menunjukkan lelaki itu adalah orang yang membuat panggilan telefon mengenai insiden tersebut,” kata SPF.

Ada waran tangkapan ke atasnya kerana gagal hadir di mahkamah bagi dakwaan terlibat dalam satu kes menyebabkan kecederaan serius dan gangguan secara sengaja.

Dia akan didakwa di mahkamah.

Jika disabit kesalahan cuba membunuh di mana kecederaan disebabkan sesiapa menerusi tindakan sedemikian, lelaki itu boleh dihukum penjara seumur hidup dan rotan, atau penjara hingga 20 tahun dan denda atau rotan, atau kedua-dua hukuman.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg