Topik diikuti
Pergi ke BHkuLelaki guna syarikat selubung untuk sewa rumah, henti bayar sewa dan enggan pindah
Lelaki guna syarikat selubung untuk sewa rumah, henti bayar sewa dan enggan pindah
Seorang lelaki menggunakan syarikat selubung atau shell companies untuk menyewa tiga rumah berhalaman di Singapura pada waktu berbeza sebagai kediaman bagi keluarganya.
Tidak lama selepas berpindah masuk, dia berhenti membayar sewa dan kemudian mengheret pemilik rumah ke dalam proses undang-undang bagi mengelak daripada mengosongkan hartanah tersebut.
Anthony Thomas Price, seorang pengarah dan pemegang saham Noranth Ventures, telah menggunakan syarikat itu serta anak syarikat miliknya sepenuhnya, Bundleluxe, untuk memeterai perjanjian berasingan dengan pemilik rumah berbeza antara 2019 dengan 2026.
Lelaki warga Amerika itu kemudian enggan membayar sewa bulanan seterusnya kerana mendakwa terdapat kerosakan pada hartanah berkenaan, namun dia dan keluarganya terus menetap di situ.
Malah, mereka turut mengabaikan tuntutan supaya mengosongkan hartanah berkenaan.
Dalam kes terbaharu melibatkan sebuah rumah berkembar di Kembangan, Price mengemukakan permohonan mahkamah bagi menghalang pemilik rumah daripada mengambil semula pemilikan hartanah tersebut.
Namun, permohonan itu ditolak oleh Hakim Daerah kerana ia “langsung tidak berasas”.
Dalam penghakiman bertulis pada 7 Oktober, Hakim Daerah Chiah Kok Khun berkata permohonan itu dikemukakan sebagai satu “penyalahgunaan jelas terhadap proses mahkamah”.
Price menggunakan saluran undang-undang “untuk menggagalkan usaha pemilik rumah dalam menuntut hak sah mereka, selain meneruskan helahnya untuk menyewa kediaman bagi dirinya dan keluarga tanpa sebarang niat untuk membayar sewa”, tambah hakim itu.
Price menggunakan Noranth Ventures, sebuah syarikat dengan modal berbayar sebanyak $200, untuk menyewa sebuah rumah berkembar di Lengkong Dua di Kembangan pada harga $7,500 sebulan bagi tempoh dua tahun, bermula 1 Mei 2026.
Noranth Ventures berdaftar di bawah alamat pejabat maya yang dikendalikan oleh entiti dikenali sebagai VOffice Singapore, menurut mahkamah.
Pemilik rumah berkenaan, Encik Loo Kin Ben dan Cik Tong Pek Eng, merupakan pasangan warga emas berumur dalam lingkungan 80-an tahun.
Apabila mereka cuba mengambil semula hartanah tersebut selepas Price berhenti membayar sewa mulai bulan kedua, Price mengemukakan permohonan mahkamah untuk menghalang tindakan mereka.
Pemilik rumah yang diwakili peguam, Encik Brendan Tan Zi Jian daripada Rajah & Tann Singapore, membantah permohonan tersebut dan mengemukakan tuntutan balas bagi mendapatkan semula hartanah berkenaan, sewa tunggakan berserta faedah, serta bayaran lain.
Di bawah perjanjian penyewaan bertarikh 27 April, kediaman tersebut mempunyai empat penghuni berdaftar iaitu isteri Price, Cik Lizzy Hashim Price, Cik Nur Fitriqah Mohamad Fitrin, Cik Quraisha de’ Melda Ridzwan dan Cik Norai’rin Md Hashim.
Price tidak dinamakan sebagai penghuni berdaftar, namun beliau turut menetap di hartanah berkenaan.
Noranth Ventures telah bersetuju untuk membayar wang deposit jaminan sebanyak $15,000, tetapi hanya membuat pembayaran sebanyak $7,500.
Syarikat itu juga hanya membayar sewa bagi bulan pertama dan berhenti membuat pembayaran mulai Jun 2026.
Price mendakwa terdapat sekitar “35 isu pembaikan, pembetulan atau masalah penginapan praktikal” pada hartanah berkenaan.
Pemilik rumah telah menyelesaikan 32 daripada aduan tersebut menjelang 8 Jun, manakala isu berkaitan sistem saliran yang selebihnya memerlukan kerja-kerja pembaikan lebih menyeluruh dan mengambil masa lebih lama untuk disiapkan, menurut hakim daerah itu.
Hakim Chiah menambah bahawa pemilik rumah tersebut telah “bertolak ansur dan mengambil langkah wajar bagi menyelesaikan isu pembaikan yang dibangkitkan Price meskipun sewa tidak dibayar”.
Hakim Daerah mendapati bahawa Noranth Ventures telah memungkiri perjanjian penyewaan kerana enggan membayar sewa dan pemilik rumah mempunyai “setiap hak untuk mengambil semula pemilikan premis tersebut”.