Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki habiskan kesemua $280,000 simpanan nenek, bohong konon nenek ditipu

Warga emas hidap penyakit Parkinson, bergantung pada cucu untuk akses khidmat perbankan dalam talian
Apr 9, 2025 | 4:20 PM
Adam Ilhan Mohamad Idhamsahbani dijatuhi hukuman penjara 20 bulan dan empat minggu.
Adam Ilhan Mohamad Idhamsahbani dijatuhi hukuman penjara 20 bulan dan empat minggu. - Foto ST

Seorang lelaki menghabiskan kesemua $280,000 duit simpanan neneknya yang menghidap penyakit Parkinson dan bergantung padanya untuk mengakses perkhidmatan perbankan dalam talian. 

Apabila wanita berusia 77 tahun itu menyedari wangnya lesap, beliau meminta bantuan cucunya itu, tetapi cucunya berbohong kononnya neneknya telah ditipu.

Cucunya, Adam Ilhan Mohamad Idhamsahbani, 22 tahun, mengulangi pembohongan itu kepada polis.

Pada 9 April, Adam dihukum penjara 20 bulan dan empat minggu selepas dia mengaku bersalah atas satu tuduhan pecah amanah jenayah dan satu tuduhan memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam, lapor The Straits Times (ST).

Hakim Daerah Shaiffudin Saruwan menolak permintaan peguam Adam agar didapatkan laporan kesesuaian probesen, dengan mengatakan bahawa keperluan pencegahan dan hukuman lebih penting daripada pemulihan dalam kes ini.

“Pada saya, ini adalah kesalahan yang sangat serius. Ia menunjukkan perbuatan yang dirancang, bukan dilakukan secara tidak sengaja atau kerana fikiran tidak matang,” kata beliau.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Lim Li Ting berkata nenek Adam meminta bantuannya setiap kali beliau perlu mengakses lima akaun banknya untuk membuat pembelian dalam talian, pembayaran bil, atau sumbangan. 

Nenek itu bergantung padanya kerana beliau sukar mengingati kata kunci dan tidak begitu mahir bahasa Inggeris.

Siasatan kemudian mendedahkan bahawa antara Januari dan Disember 2023, Adam mengosongkan lima akaun bank neneknya sebanyak $280,000 dan menggunakan wang itu untuk perbelanjaan peribadi serta membeli komputer riba, desktop, pencetak, dan pembelian dalam permainan dalam talian.

Nenek Adam mula menyedari wangnya hilang pada Ogos 2023. Menjelang Disember 2023, baki dalam akaun-akaunnya telah luput. 

Adam meyakinkannya bahawa wang itu hilang akibat penipuan, malah memalsukan dua surat yang kononnya daripada polis untuk menyokong pembohongannya. Dia terus berbohong walaupun neneknya telah membuat laporan polis.

Pada 17 Januari 2024, Adam memberi kenyataan di Divisyen Polis Ang Mo Kio, mengatakan dia telah bertanya kepada bank setelah neneknya menyedari wangnya hilang pada Ogos 2023. 

Dia mendakwa menerima panggilan daripada pegawai polis Pusat Anti-Penipuan (ASC) pada Oktober 2023, mengatakan wangnya hilang akibat penipuan.

Adam juga mengaku bertemu pegawai daripada ASC dan diberikan dua surat oleh pegawai yang tidak dikenalinya.

Namun, setelah polis menemuinya, dia mengaku berbohong dan terdorong melakukan jenayah setelah melihat wang dalam akaun neneknya.

DPP Lim berkata Adam tidak menunjukkan penyesalan selepas ditangkap.

“Dalam pembelaannya, dia menyalahkan neneknya kerana memberi kepercayaan kepadanya, ini menunjukkan tiada rasa kesal,” kata beliau.

Setakat ini, Adam telah memulangkan $100,000. 

Pesalah pecah amanah boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan denda, sementara memberi maklumat palsu boleh mengundang hukuman penjara hingga dua tahun, denda, atau kededuanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg