Seorang lelaki telah didakwa dengan 31 pertuduhan penderaan kanak-kanak setelah dia mendera seorang bayi lelaki, termasuk menolak kepalanya ke dalam baldi bersisi air selama kira-kira enam saat dan memaksa botol susu yang diisi air ke dalam mulutnya.
Warga Singapura berusia 31 tahun itu, yang tidak boleh dinamakan bagi melindungi identiti kanak berkenaan, turut didakwa mencekik bayi tersebut beberapa kali serta menggantungnya di dalam almari menggunakan penyangkut sambil pintu almari ditutup.
Bayi itu berusia antara sembilan dengan 11 bulan ketika kejadian berikut berlaku. Dokumen mahkamah tidak menyatakan hubungan antara kedua-dua mereka.
Lelaki tersebut telah didakwa pada 19 September setelah dia melakukan kesalahan-kesalahan itu antara Julai hingga September 2024.
Dia dituduh melakukan kebanyakan kesalahannya di sebuah flat (HDB) di Clementi dan didakwa mula mendera bayi itu pada 17 Julai 2024. Pada hari tersebut, tidak lama selepas tengah hari, lelaki itu didakwa menumbuk muka dan badan bayi tersebut berkali-kali menggunakan bantal peluk.
Lelaki itu juga didakwa menampar muka bayi tersebut dan mencekiknya dengan memegang lehernya selama kira-kira tujuh saat pada sekitar 6 petang.
Menurut dokumen mahkamah, pada sekitar 6.40 petang, lelaki itu didakwa menolak kepala bayi yang sedang duduk di atas katil itu hingga jatuh ke atasnya dengan “kuasa yang kuat”.
Dia turut dituduh menarik rambut bayi itu, memegang pipinya dengan kuat, menolaknya ke atas tilam serta memijak muka kanak-kanak tersebut sekitar 8.40 malam.
Lelaki itu didakwa terus mendera bayi itu pada beberapa kejadian selepas itu.
Dia juga dituduh melakukan kesalahan lain termasuk menekup muka bayi itu dengan bantal selama kira-kira 10 saat, mencampaknya sejauh sekurang-kurangnya 2 meter ke atas tilam, mengangkatnya di udara dengan memegang lehernya selama kira-kira 25 saat serta menekup muka kanak-kanak itu dengan kakinya selama kira-kira 10 saat.
Lelaki tersebut didakwa mendera bayi itu buat kali terakhir pada 16 September 2024.
Namun, dia berada di kolong blok HDB di Clementi sekitar 1.40 petang pada hari tersebut apabila dia didakwa menarik rambut bayi itu, memulas tangannya, menumbuk muka, menyebabkan bayi itu terjatuh, dan mencekiknya selama kira-kira 20 saat.
Lelaki itu juga dituduh menumbuk punggung dan kaki bayi tersebut, menggoyangkan kepalanya dengan kasar, menampar mukanya berkali-kali serta memegang kuat bahagian belakang lehernya dan menyeretnya di atas meja.
Difahamkan, bayi itu terselamat daripada perbuatan dera yang didakwa dilakukan terhadapnya.
Tertuduh diwakili peguam Gino Hardial Singh dan persidangan praperbicaraan kes itu dijadualkan berlangsung pada 29 September.
Bagi setiap pertuduhan penderaan kanak-kanak, pesalah boleh dipenjara sehingga lapan tahun dan didenda sehingga $8,000.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg