KUALA LUMPUR: Lebih 100,000 notis kesalahan dikeluarkan terhadap individu yang dikesan mengingkari larangan merokok di premis makan seluruh Malaysia sepanjang 12 bulan lalu, membabitkan denda kompaun berjumlah RM11.45 juta ($3.49 juta).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata sebanyak 101,521 notis kesalahan dikeluarkan hasil 19,175 operasi penguatkuasaan di seluruh negara, dengan purata lebih 50 pemeriksaan setiap hari.
Beliau membuat kenyataan itu susulan tular satu rakaman video memaparkan kejadian seorang lelaki didakwa bertindak agresif dan mencetuskan pergaduhan selepas ditegur merokok di sebuah restoran di Seksyen 13, Shah Alam, minggu lalu.
Susulan kejadian itu, media melaporkan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Penolong Pesuruhjaya Mohd Iqbal Ibrahim, berkata suspek berusia 49 tahun itu ditahan selepas pulang dari Thailand dengan menunggang motosikal.
Mengulas lanjut, Datuk Dr Dzulkefly menyifatkan kejadian merokok di Shah Alam itu amat membimbangkan.
“Ia adalah satu kesalahan jelas di bawah Seksyen 16(2) Akta 852 yang menggantikan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) dalam Akta Makanan (Akta 281),” katanya dalam satu hantaran melalui media sosial, lapor Harian Metro.
Beliau sekali gus menegaskan Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa komited melaksanakan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan undang-undang dipatuhi.
“Sepanjang tempoh 12 bulan lalu, sebanyak 19,175 operasi dilaksanakan di seluruh negara dengan purata lebih 50 operasi sehari, selain 101,521 notis kesalahan dikeluarkan dengan nilai kompaun berjumlah RM11.45 juta,” katanya.
Meskipun tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan, Datuk Dr Dzulkefly menjelaskan bahawa isu kesihatan awam adalah tanggungjawab bersama dan tidak hanya boleh bergantung pada undang-undang semata-mata.
Justeru, beliau mengingatkan pemilik dan pekerja premis makan agar turut memainkan peranan dalam menegur pelanggan yang merokok di kawasan larangan.
“Hormatilah hak pengunjung lain terutama kanak-kanak, ibu mengandung serta warga emas untuk menikmati makanan tanpa asap rokok.
“Ia dengan memastikan aktiviti merokok dilakukan sekurang-kurang tiga meter dari meja terakhir premis makan.
“Peraturan jarak tiga meter itu masih berkuat kuasa. Merokok adalah satu ketagihan, dan hak perokok juga tidak dinafikan sekiranya tidak merokok di tempat larangan, terutama di premis makan awam,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg