Lelaki mabuk didakwa selepas buat kecoh dalam pesawat Scoot
Lelaki mabuk didakwa selepas buat kecoh dalam pesawat Scoot
Seorang lelaki yang didakwa mencetuskan kekecohan dalam penerbangan Scoot dari Sydney, Australia ke Singapura, serta mengugut untuk membunuh seorang kru kabin lelaki, telah didakwa atas kesalahan ugutan jenayah pada 1 April.
Kolathu James Leo, 42 tahun, warganegara India, turut didakwa atas satu pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap kru kabin, berada dalam keadaan mabuk di dalam pesawat serta menjejaskan ketenteraman semasa di dalam penerbangan pada 27 Februari, lapor The Straits Times (ST).
Kolathu juga dituduh cuba menanggalkan tempat meletak barang di sebuah tempat duduk dan memukul tempat duduk penumpang di hadapannya antara 11.59 pagi hingga 12.10 tengah hari semasa hari kejadian.
Dia didakwa bertindak agresif apabila kru kabin cuba menenangkannya.
Dia turut dituduh menarik pergelangan tangan kanan seorang pramugara antara 12.35 tengah hari hingga 12.40 tengah hari.
Dia juga dituduh mengugut untuk membunuh lelaki itu sekitar 5 petang pada 27 Februari.
Polis dalam kenyataan pada 31 Mac berkata Kolathu hanya memberikan kerjasama selepas diberitahu bahawa pesawat akan berpatah balik ke Australia jika dia meneruskan kelakuannya itu.
Jurucakap polis berkata: “Dia kemudian ditempatkan di bawah sekatan untuk menghalang beliau bergerak bebas oleh kru kabin sepanjang masa bagi baki penerbangan.
“Setelah tiba di Lapangan Terbang Changi, lelaki itu kemudian ditahan pegawai dari Divisyen Polis Lapangan Terbang.”
Kolathu dijangka mengaku bersalah pada 22 April.
Jika disabit kesalahan menggunakan kekerasan jenayah terhadap kru kabin, pesalah boleh dipenjara sehingga tiga bulan dan didenda hingga $1,500.
Pesalah yang disabit kesalahan mengugut untuk membunuh seseorang boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan dikenakan denda.
Mereka yang didapati bersalah kerana berada dalam keadaan mabuk di dalam pesawat sehingga menjejaskan ketenteraman, boleh dipenjara sehingga setahun dan didenda hingga $20,000.

