Niat murni seorang wanita membantu seorang balu berusia 71 tahun yang mengalami demensia teruk untuk pulang ke rumah bertukar tragedi, selepas suami wanita berkenaan berulang kali mencabul kehormatan dan merogol warga emas tersebut.

Perbuatan keji tertuduh, Mohamad Zakir Jaafar, terbongkar selepas salah seorang anak lelaki mangsa memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah ibunya, yang merakam salah satu kejadian berkenaan.

Zakir, yang kini berusia 55 tahun, mengaku bersalah atas dua tuduhan merogol dan satu tuduhan mencabul kehormatan.

Enam tuduhan lain – merangkumi tiga kesalahan seksual terhadap mangsa dan tiga berkaitan pemilikan dua senjata besi knuckle duster serta satu pistol tiruan plastik – akan dipertimbangkan apabila hukuman dijatuhkan.

Siri serangan tersebut dilakukan dalam tempoh kira-kira tujuh minggu dari Jun 2022 hingga Januari 2023, di kediaman warga emas yang tinggal bersendirian itu.

Kes ditangguhkan ke tarikh lain bagi penyerahan hujah hukuman lanjut.

Pihak pendakwa memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa mangsa telah dikenal pasti menghidap demensia pada Februari 2019.

Pada Januari 2023, mangsa mendapat markah 0 daripada 10 dalam satu ujian yang menunjukkan tahap keterukan demensia yang dihadapinya.

Warga emas itu juga dinilai tidak mempunyai keupayaan mental untuk memberi keizinan bagi sebarang hubungan seksual.

Ketidakupayaan mangsa untuk membuat keputusan wajar, tahap kesedaran keselamatan yang lemah, serta kegagalan membuat pertimbangan yang betul adalah disebabkan oleh penyakit yang dihadapinya itu.

Pada Jun 2022, isteri Zakir terserempak dengan mangsa yang ketika itu tersesat, lalu menghantarnya pulang selepas memeriksa alamat pada kad pengenalan warga emas berkenaan.

Isteri Zakir menceritakan perihal wanita itu kepadanya sambil berkata beliau mengesyaki warga emas berkenaan nyanyuk.

Kira-kira seminggu kemudian, Zakir terserempak dengan wanita itu yang tersesat berhampiran sebuah pusat beli-belah di sekitar kawasan perumahan mereka, lalu menemaninya berjalan pulang ke rumah.

Mangsa memberitahu Zakir bahawa beliau tinggal bersendirian dan anak-anak lelakinya hanya akan datang melawatnya sekali sekala.

Zakir memerhatikan bahawa warga emas itu tidak menyedari keadaan sekelilingnya dan menilai bahawa mangsa memang nyanyuk.

Dia kemudian datang ke flat warga emas itu untuk sekurang-kurangnya empat kali lagi, pada lewat malam selepas pulang dari kerja.

Dia akan menunjukkan mangsa video pornografi sebelum mencabul kehormatannya dan memaksa beliau melakukan seks oral terhadapnya.

Zakir mengaku bahawa dia merasakan perbuatannya tidak akan terbongkar dan mangsa tidak akan mengadu atau memberitahu sesiapa, memandangkan mangsa menghadapi demensia.

Kejadian terakhir pada 3 Januari 2023 dirakam oleh kamera CCTV yang dipasang oleh anak-anak lelaki mangsa di ruang tamu.

Pada hari berkenaan, anak mangsa sedang memeriksa rakaman tersebut sebelum ternampak rakaman memaparkan Zakir memasuki flat itu, lalu menyerang ibunya.

Beliau segera memaklumkan perkara itu kepada abangnya, yang kemudian membuat laporan polis. 

Zakir ditangkap pada hari yang sama.

Dalam hujah bagi menjatuhkan hukuman, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) James Chew, berkata kes ini amat membimbangkan memandangkan mangsa merupakan seorang balu warga emas yang tinggal sendirian, menghidap demensia teruk dan dieksploitasi secara berulang kali.

Mangsa merupakan individu yang sangat rentan dan sepatutnya dilindungi, manakala perbuatan Zakir pula amat menjijikkan, katanya.

Namun, peguam bela, Encik Pang Khin Wee, tidak bersetuju dengan hujah pihak pendakwaan yang mendakwa Zakir memilih untuk datang ke rumah mangsa pada waktu malam bagi mengelak daripada dikesan.

Beliau menegaskan bahawa Zakir pergi ke sana pada waktu malam selepas selesai kerja.