Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki pancut campuran air kencing, tepung pada pakaian wanita didenda $1,200

Jun 20, 2024 | 3:52 PM
Tan Jun Hao, seorang warga Malaysia berusia 31 tahun, didenda $1,200 selepas mengaku bersalah  menggunakan kekerasan jenayah ke atas salah seorang wanita.
Tan Jun Hao, seorang warga Malaysia berusia 31 tahun, didenda $1,200 selepas mengaku bersalah menggunakan kekerasan jenayah ke atas salah seorang wanita. - Foto ST

Gara-gara ingin sangat berbual dengan wanita, seorang lelaki membuat perancangan untuk mengotorkan pakaian mereka dengan campuran air kencing dan tepung supaya dia berpeluang bercakap dengan mereka.

Pada 20 Jun, Tan Jun Hao, seorang warga Malaysia berusia 31 tahun, didenda $1,200 selepas dia mengaku bersalah menggunakan kekerasan jenayah ke atas salah seorang wanita itu.

Dia mengekori seorang wanita berusia 26 tahun yang sedang menaiki eskalator dari stesen MRT Nicoll Highway pada kira-kira 8.30 malam pada 9 April.

Dia kemudian memancutkan campuran itu, yang diletakkan dalam botol plastik kecil, pada pakaian wanita itu semasa beliau sedang berjalan di jambatan berhampiran.

Tetapi, daripada berhenti untuk bercakap dengan wanita itu, dia terus berlalu pergi.

Wanita itu awalnya ingat campuran itu adalah najis burung kerana baunya dan tanda campuran itu bertambah besar selepas dia cuba mengelapnya dengan tisu.

Timbalan Pendakwa Raya Yap Jia Jun berkata: “Tertuduh berhasrat memancutkan campuran itu di pakaian wanita, terutama wanita muda yang memakai seluar atau skirt berwarna gelap, dan kemudian memaklumkan kepada mereka bahawa pakaian mereka kotor.

“Dia mahu mencipta peluang untuk bercakap dengan wanita-wanita itu.”

Tan mengaku dia telah melakukan perkara sama terhadap dua mangsa lain yang tidak dikenali.

“Dia juga telah menyediakan pewarna merah di rumah, dengan tujuan dicampurkan ke dalam cecair itu,” kata pendakwa raya.

Dokumen mahkamah tidak menyatakan bagaimana pihak berkuasa menjejak Tan sebelum dia ditangkap.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg