Topik diikuti
Pergi ke BHkuLelaki rogol anak perempuan, pecah amanah dipenjara 14 tahun
Lelaki rogol anak perempuan, pecah amanah dipenjara 14 tahun
Seorang lelaki yang merogol anak perempuan kandungnya berusia 15 tahun di atas katil mangsa pada 2024 dijatuhi hukuman penjara 14 tahun pada 2 November.
Susulan kejadian rogol itu, mangsa bergegas lari ke balai polis untuk membuat laporan ketika bapanya sedang mandi.
Selepas keluar mencari mangsa dan melihat anaknya di dalam pusat polis kejiranan berkenaan, tertuduh pulang ke rumah untuk menukar kepada seluar jean sebelum menyerah diri di balai terbabit.
Siasatan mendedahkan selain kesalahan seksual yang dilakukannya pada 11 Ogos 2024, lelaki itu turut merakam dua gambar dada mangsa antara 2021 dengan 2023.
Susulan penahanannya, terbongkar juga perbuatan tertuduh menggelapkan wang majikannya sebanyak $23,000 ketika memegang jawatan sebagai pengurus besar syarikat berkenaan.
Lelaki berusia 51 tahun itu mengaku bersalah pada 7 September atas satu tuduhan rogol, satu tuduhan mencabul kehormatan dan satu tuduhan pecah amanah.
Hukuman penjaranya turut merangkumi tambahan empat bulan bagi menggantikan sembilan sebatan rotan.
Tertuduh tidak boleh disebat kerana usianya melebihi 50 tahun.
Identitinya tidak boleh didedahkan susulan perintah sekatan untuk melindungi identiti mangsa.
Dua lagi tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan mengintai turut dipertimbangkan hakim semasa menjatuhkan hukuman.
Mahkamah Tinggi sebelum ini diberitahu bahawa mangsa didera secara fizikal sejak kecil.
Bapanya sering menarik rambut, memukul menggunakan penyangkut baju dan merotan mangsa berkali-kali hanya kerana kesalahan kecil.
Mangsa berasa takut akan sikap baran bapanya dan menganggap tindakan lelaki itu menggunakan kekerasan terhadap dirinya sebagai perkara biasa.
Pada malam 10 Ogos 2024, tertuduh memarahi mangsa berhubung kebersihan rumah mereka.
Dia menolak semua barang di atas meja makan ke lantai, mengarahkan mangsa masuk ke bilik dan mencabut kamera litar tertutup (CCTV) di flat berkenaan sebelum masuk tidur.
Keesokan paginya, tertuduh masuk ke bilik mangsa untuk mengejutkannya.
Apabila mangsa tidak memberi respons, tertuduh menyelak sebahagian selimut yang menutup badan mangsa, mencabul kehormatannya, lalu merogolnya.
Remaja perempuan itu terkejut namun tidak berani bertindak balas kerana bimbang akan membangkitkan kemarahan bapanya.
Tertuduh kekal ditahan reman sejak penangkapannya.