Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki rogol anak tiri, arah rakam video lucah dengan ibu

Feb 24, 2025 | 6:09 PM
Lelaki yang memaksa anak tirinya berusia 11 tahun melakukan pelbagai perbuatan seksual dengannya dalam tempoh dua bulan dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 12 sebatan.
Lelaki yang memaksa anak tirinya berusia 11 tahun melakukan pelbagai perbuatan seksual dengannya dalam tempoh dua bulan dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 12 sebatan. - Foto PIXABAY

Seorang lelaki memaksa anak tirinya yang berusia 11 tahun melakukan pelbagai perbuatan seksual dengannya dalam tempoh dua bulan, malah pada salah satu kejadian, menyuruh remaja itu mempercayainya.

Lelaki itu juga menyuruh remaja itu merakam video dia dan ibunya melakukan hubungan seks.

Ketika menjatuhkan hukuman terhadap lelaki berusia 29 tahun itu pada 24 Februari, hakim Mahkamah Tinggi berkata ia amat “menyayat hati” apabila remaja itu berkata dia berasa lebih lega daripada jijik tatkala diarahkan untuk merakam perbuatan tersebut, kerana ia bermakna dia tidak akan diserang.

Hakim Aidan Xu menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 12 sebatan ke atas lelaki itu, dengan berkata perbuatan kejam dan terkutuknya telah meragut kesucian mangsa.

Lelaki itu mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan: pertuduhan rogol berat, pertuduhan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak dan pertuduhan melakukan kegiatan seksual di depan kanak-kanak.

Sembilan pertuduhan lagi, bagi pelbagai kesalahan seksual terhadap mangsa yang sama, diambil kira ketika hukuman dijatuhkan.

Hakim Xu memuji tindakan guru tuisyen dan pekerja sosial yang membantu mendedahkan perbuatan terkutuk itu, lapor The Straits Times (ST).

Sebagai jawapan kepada soalan hakim, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Kathy Chu, berkata mangsa yang kini berusia 13 tahun itu tinggal bersama ibunya dan tiada tindakan jenayah diambil terhadap ibu mangsa.

Lelaki itu, pekerja di restoran makanan segera, berkahwin dengan ibu mangsa yang mempunyai dua anak lelaki dan satu anak perempuan, pada Julai 2019.

Kededua abang mangsa tidur di dalam satu-satunya bilik di flat itu, manakala mangsa tidur di sofa di ruang tamu dan suami isteri itu tidur di atas tilam di sebelah sofa.

Suatu malam pada November 2022, lelaki itu sedang melakukan hubungan seks dengan ibu mangsa, namun terpaksa berhenti apabila remaja itu masuk ke ruang tamu.

Kecewa dengan gangguan itu, lelaki tersebut kemudian menonton video pornografi sementara ibu mangsa tidur di sebelahnya.

Dia mendedahkan dirinya setelah menyedari bahawa remaja itu sedang memerhatikannya.

Lelaki itu kemudian menyuruh mangsa menyentuhnya dan menggenggam tangannya.

Dia memaksa remaja itu untuk melakukan perbuatan seks ke atas dirinya dan setelah berbaring semula di atas tilam, dia menghulurkan tangannya untuk meraba mangsa.

Apabila mangsa melawan, dia menyuruh remaja itu agar mempercayainya.

Selepas kejadian, lelaki itu menyuruh mangsa untuk tidak memberitahu sesiapa tentang apa yang berlaku dan berkata dia melakukan apa yang dilakukannya hanya kerana remaja itu mengganggu dia dan ibunya.

Dia meneruskan penderaan ini pada kesempatan lain, malah meminta mangsa merakam video seks dia dan ibunya secara sembunyi.

Penderaan itu berhenti apabila mangsa menceritakan perbuatan lelaki itu kepada abangnya, yang kemudian memberitahu ibu mereka.

Selepas berbincang, mangsa bersetuju untuk memaafkan lelaki itu bagi mengelak keluarga itu daripada berpecah belah.

Pada 11 Mei 2023, semasa menghadiri tuisyen di sebuah agensi perkhidmatan sosial, gurunya menyedari terdapat luka di lengan mangsa.

Guru tersebut tidak percaya dakwaan mangsa yang berkata dia luka kerana dicakar kucing.

Beliau kemudian membawa mangsa berjumpa seorang pekerja sosial.

Mangsa mengaku dia telah melukai dirinya kerana rasa tidak berguna serta tertekan dengan pelajarannya, malah dia juga pernah terfikir untuk membunuh diri.

Selepas mengetahui daripada mangsa dan ibunya bahawa bapa tirinya telah menderanya secara seksual, pekerja sosial itu membawa mangsa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (KKH), dan pihak hospital kemudian membuat laporan polis.

Lelaki itu ditangkap pada 12 Mei 2023 dan telah ditahan reman sejak itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg