Memakai sut dan berpura-pura menjadi pengawal peribadi seorang ‘puteri keluarga diraja Selangor’.
Demikian gelagat seorang lelaki semasa di Stadium Tertutup Singapura pada Januari 2024 bagi menyaksikan konsert kumpulan lelaki Korea Selatan, Enhypen.
Hasil penyamarannya itu berjaya, sehinggakan dia bersama-sama sang ‘puteri’ dan rakan wanitanya, juga berusia 17 tahun, dibenarkan masuk ke kawasan menonton lebih awal berbanding orang lain.
Keesokannya, si ‘pengawal peribadi’ itu bersama-sama si ‘puteri’ cuba melakukan hal serupa tetapi helah mereka terbongkar dan lelaki yang menyamar sebagai ‘pengawal peribadi’ itu telah diberkas.
Di mahkamah pada 29 Jun, ‘puteri’ itu dikenal pasti sebagai anak perempuan tertuduh dan tindakan tertuduh membuat penyamaran itu adalah kerana dia mahu mengawasi anaknya.
Lelaki warga Singapura berusia 49 tahun itu mengaku bersalah, atas satu pertuduhan menipu secara peribadi dan didenda $5,000 pada 29 Julai.
Dia tidak boleh dinamakan untuk melindungi identiti anak perempuannya yang berumur di bawah 18 tahun, yang dilindungi di bawah Akta Kanak-kanak dan Orang Muda.
Konsert jelajah dunia kumpulan Enhyphen, Enhypen’s Fate berlangsung di Stadium Tertutup Singapura pada 20 dan 21 Januari, dan anak perempuan lelaki itu telah membeli tiket untuk dirinya bagi kedua-dua hari tersebut.
Pada 20 Januari, lelaki itu menghubungi penganjur acara, Anschutz Entertainment Group dan berbohong menyatakan seorang “puteri dari keluarga diraja Selangor” akan menghadiri kedua-dua pertunjukan.
Timbalan Pendakwa Raya June Ngian memberitahu mahkamah: “Sambil menjelaskan bahawa dia ‘pengawal peribadi puteri’ tersebut, tertuduh memaklumkan penganjur acara bahawa dia tidak mempunyai tiket ke konsert itu, dan meminta diberi akses supaya dia dapat memastikan ‘puteri’ itu dalam keadaan selamat.
“Sebagai maklum balas terhadap perkara ini, penganjur acara meminta tertuduh hadir lebih awal... bagi memudahkan masuk ke dalam dewan konsert,” kata Cik Ngian.
Lelaki itu kemudian berkongsi rancangannya dengan anak perempuannya, kata pendakwa raya.
Bapa dan anak perempuan itu, bersama rakan anak perempuan itu, kemudian muncul di Stadium Tertutup Singapura kira-kira jam 6.20 petang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg