Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis berkas 2 lelaki selepas kejar-mengejar kereta di Toa Payoh

Jul 28, 2024 | 5:05 PM
Apabila polis tiba di tempat kejadian, sebuah kereta memecut dan kemudian terbabas di simpang Lorong 3 dan Lorong 4 Toa Payoh.
Apabila polis tiba di tempat kejadian, sebuah kereta memecut dan kemudian terbabas di simpang Lorong 3 dan Lorong 4 Toa Payoh. - Foto ST TANGKAP LAYAR FB SG ROAD VIGILANTE

Dua lelaki telah diberkas kerana disyaki mengedar, menggunakan dan memiliki dadah terkawal, serta kesalahan lain, berikutan kejadian kejar-mengejar kereta yang berakhir apabila kenderaan itu merempuh lampu isyarat di Toa Payoh.

Polis kemudian menemui pisau, ‘knuckleduster’ atau alat menumbuk, bahan yang disyaki dadah terkawal dan peralatan menggunakan dadah di dalam kereta terbabit.

Menjawab pertanyaan akhbar The Straits Times, polis berkata mereka menerima panggilan meminta bantuan di Blok 177, Toa Payoh Central pada 2.05 petang 27 Julai.

Apabila polis tiba di tempat kejadian, sebuah kereta memecut keluar dari kawasan itu dan kemudian terbabas di persimpangan Lorong 3 dan Lorong 4 Toa Payoh, kata polis.

Seorang lelaki berusia 27 tahun meninggalkan kereta yang dipandunya itu dan cuba melarikan diri, kata polis.

Dia berjaya ditahan pegawai polis.

Seorang lelaki berusia 25 tahun, yang merupakan penumpang di dalam kereta itu, turut ditahan.

Kedua-dua lelaki itu dalam keadaan sedar ketika dibawa ke Hospital Tan Tock Seng.

Video kemalangan itu yang dimuat naik ke Facebook telah ditonton lebih 34,000 kali.

Video itu menunjukkan sebuah kereta hitam bergerak di sepanjang Lorong 3 Toa Payoh dengan dua kereta polis sedang mengejar di belakang.

Ketika kereta hitam itu membelok ke Lorong 4 Toa Payoh, ia terbabas ke tempat pejalan kaki sebelum merempuh tiang lampu isyarat dan berhenti. 

Salah sebuah kereta polis itu berhenti di sebelah kereta hitam tersebut, manakala satu lagi berhenti di belakangnya.

Ketika pegawai polis menghampiri kereta, seorang lelaki keluar dari kenderaan itu dan melarikan diri. 

Dua pegawai polis dilihat mula mengejarnya

Polis berkata pemandu itu telah ditahan kerana disyaki mengedar, mengambil dan memiliki dadah terkawal, memiliki senjata serta memiliki lesen memandu palsu.

Dia juga akan disiasat kerana memandu tanpa lesen yang sah, memandu tanpa insurans yang sah dan memandu dengan cuai.

Penumpang itu telah ditangkap kerana disyaki mengedar, mengambil dan memiliki dadah terkawal dan memiliki senjata yang berbahaya.

Polis berkata, kesalahan yang disyaki berkaitan dadah telah dirujuk kepada Biro Narkotik Pusat (CNB). Siasatan sedang dijalankan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg