Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki S’pura, penyanyi Thai maut lepas urut di Thailand

Dec 9, 2024 | 7:06 PM
Penyanyi Thailand, Cik Phing Chyada, mendapatkan khidmat urut bagi melegakan sakit bahunya, namun mengalami kesakitan pada belakang leher diikuti dengan lengan kanannya menjadi lemah dan lumpuh separuh badan beberapa minggu kemudian. Kematiannya menjadi viral pada 8 Disember. 
Penyanyi Thailand, Cik Phing Chyada, mendapatkan khidmat urut bagi melegakan sakit bahunya, namun mengalami kesakitan pada belakang leher diikuti dengan lengan kanannya menjadi lemah dan lumpuh separuh badan beberapa minggu kemudian. Kematiannya menjadi viral pada 8 Disember.  - Foto THE NATION/ASIA NEWS NETWORK

Seorang warga Singapura dilaporkan meninggal dunia di Phuket pada 7 Disember sejurus selepas mendapatkan khidmat urut.

Menurut beberapa saluran media Thailand, lelaki berusia 52 tahun, yang dikenal pasti sebagai Encik Lee Mun Tuck, meninggal dunia selepas menjalani urutan minyak selama 45 minit di sebuah rumah urut di Pantai Patong di Phuket.

Ketua Polis Patong Chalermchai Hernsawad berkata polis menerima panggilan pada sekitar 11 malam, lapor The Straits Times (ST).

Beliau berkata lelaki itu tertidur semasa prosedur tersebut dan berdengkur dengan kuat.

Isteri Encik Lee, yang bersamanya di pusat urut semasa kejadian itu, tidak membenarkan bedah siasat dilakukan dan membawa mayat pulang untuk upacara keagamaan.

Ia merupakan kematian kedua yang dilaporkan di rumah urut Thai minggu ini.

Dalam satu kes berasingan, seorang penyanyi wanita Thailand meninggal dunia pada 8 Disember selepas menerima khidmat urut di Udon Thani.

Menurut media Thailand, penyanyi itu, yang dikenal pasti sebagai Cik Phing Chyada, mendapatkan rawatan tersebut bagi melegakan sakit bahunya.

Namun, beliau mengalami kesakitan pada belakang leher dua hari kemudian, diikuti dengan lengan kanannya menjadi lemah, sebelum beliau lumpuh separuh badan beberapa minggu kemudian.

Kejadian itu mendapat perhatian orang ramai apabila halaman Facebook ‘Drama Addict’ mengumumkan bahawa Cik Chyada telah meninggal dunia.

Laman itu juga mengingatkan orang ramai bahawa leher dianggap sebagai bahagian yang lemah, dan urutan terlalu kuat boleh merosakkan saluran darah ke otak atau saraf tunjang.

“Orang ramai harus mengelak daripada mendapatkan urutan pada bahagian leher atau tulang belakang.

“Mereka yang mengalami pening kepala, muntah, atau lemah pada lengan dan kaki perlu berjumpa doktor dengan segera,” kata pos itu.

Laman itu juga mendakwa bahawa urutan di bahagian leher tidak dilakukan dalam urutan tradisional Thai, sambil menggesa tukang urut menghentikan rawatan serupa bagi mengelakkan kecederaan.

Sementara itu, pakar neurologi Thailand, Encik Thiravat Hemachudha, berkata di laman Facebook bahawa urutan pada leher atau tulang belakang boleh menyebabkan kelumpuhan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg