Seorang lelaki didakwa atas tuduhan membunuh selepas seorang wanita warga Vietnam terbunuh dalam serangan pisau di Hougang pada 10 Disember.
Kejadian itu juga mengakibatkan seorang lelaki cedera.
Suspek, Du Zaixing, warga China berusia 42 tahun, hadir di mahkamah pada 12 Disember melalui pautan video ketika pertuduhan dibacakan kepadanya.
Jika sabit kesalahan membunuh, dia menghadapi hukuman mati.
Du kini ditahan reman dan mungkin dibawa semula ke tempat kejadian untuk siasatan lanjut. Kesnya dijangka diteruskan di mahkamah pada 19 Disember.
Du didakwa menyerang Cik Dao Thi Hong, 34 tahun, di tempat kerja mangsa – sebuah kedai perkakasan, Quan Long Nippon Paint, yang terletak berhampiran Pasar dan Pusat Makanan Kovan pada 11.06 pagi pada 10 Disember.
Saksi memberitahu The Straits Times (ST) bahawa mereka mendengar jeritan mangsa sekitar 11 pagi itu dan melihat seorang lelaki mengacukan pisau.
Cik Dao kemudian ditemui dengan beberapa luka di belakangnya.
Seorang pekerja kedai cuba menahan penyerang, namun beliau turut cedera dalam kejadian tersebut.
Ketiga-tiga mereka dibawa ke hospital. Du diiringi oleh pegawai polis. Cik Dao kemudian disahkan meninggal dunia di hospital akibat kecederaan.
Pada 11 Disember, rakan-rakan mangsa mendirikan altar sementara di belakang kedai untuk mengenang mangsa. Sekitar 7.20 malam, kakak mangsa tiba setelah perjalanan panjang dari Vietnam.
Kes itu merupakan kes pembunuhan ke-10 yang dilaporkan di Singapura pada 2024, dengan kejadian di Hougang menjadi yang ketiga dalam tempoh kurang dua minggu.
Pada 30 November, seorang lelaki berusia 66 tahun didakwa membunuh seorang wanita 67 tahun di flat milik wanita itu di Ang Mo Kio.
Sementara itu, pada 2 Disember, mayat seorang wanita 30 tahun ditemui di sebuah flat HDB di Dover.
Polis sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa luar negara untuk mengesan seorang lelaki yang dikaitkan dengan kematiannya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg