Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mangsa serangan pisau di Hougang warga Vietnam, ibu 3 anak

Dec 11, 2024 | 5:47 PM
Altar sementara di belakang kedai di Blok 210, Hougang Street 21 bagi
Altar sementara di belakang kedai di Blok 210, Hougang Street 21 bagi - Foto ST

Wanita yang terbunuh dalam serangan pisau ngeri di Hougang pada 10 Disember telah dikenal pasti sebagai warga Vietnam, Cik Dao Thi Hong, 34 tahun, ibu tiga anak kecil.

Menurut warga Vietnam yang bekerja di kawasan tersebut, saudara-mara mangsa sedang dalam perjalanan ke Singapura dari Vietnam untuk pengurusannya.

Menurut laporan Lianhe Zaobao, suaminya juga ingin ke Singapura tetapi tidak sempat mendapatkan pasport.

Rakan baik beliau, Cik Sally, berusia 40-an tahun, memberitahu The Straits Times (ST) pada 11 Disember bahawa Cik Dao telah berpindah ke Singapura dari Hanoi sekitar lima tahun lalu.

Mangsa yang bekerja di kedai perkakasan Quan Long Nippon Paint di Blok 210, Hougang Street 21 itu, telah ditikam berulang kali oleh seorang lelaki berusia 42 tahun yang dikatakan bekerja di kedai yang sama.

Kejadian berlaku sekitar 11 pagi dan saksi mengatakan mereka terdengar jeritan seorang wanita dan melihat suspek sedang mengayunkan pisau.

Seorang lelaki berusia 26 tahun – pekerja lain di kedai tersebut – cuba campur tangan, namun turut tercedera.

Cik Sally, yang juga berasal dari Hanoi, telah mengambil cuti pada 11 Disember untuk memberi penghormatan kepada mendiang di altar sementara yang didirikan di belakang kedai yang kini ditutup.

Seorang lagi rakan mangsa asal Vietnam, Encik Ah Zai, berkata mangsa mempunyai dua anak perempuan dan seorang anak lelaki, dan telah berpindah ke Singapura untuk menyara keluarganya, termasuk ibu bapanya.

“Kami kadang-kadang berbual sambil makan di kawasan ini. Beliau seorang yang baik hati dan mesra dengan kami,” kata Encik Ah Zai.

Kededua Encik Ah Zai dan Cik Sally berkata mereka tidak mengenali suspek.

Pekerja di kedai berhampiran kedai perkakasan tersebut berkata kawasan itu biasanya tenang dan penduduknya saling bergaul dengan baik. Mereka juga menyatakan tidak mengenali suspek.

Suspek dikatakan turut cedera dalam kejadian tersebut. Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) memaklumkan bahawa dua individu telah dibawa ke Hospital Besar Changi dan seorang lagi ke Hospital Besar Sengkang.

Suspek dijangka didakwa atas tuduhan membunuh pada 12 Disember, dan boleh dihukum mati jika didapati bersalah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg