Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pagar elak nahas libatkan kenderaan dan hidupan liar dipasang di 9 lagi lokasi

Dibina jelang 2026, kebanyakannya sepanjang jalan utama dekat Hutan Simpanan Bukit Timah, Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah
Apr 14, 2025 | 4:48 PM
Pagar penghalang sebegini telah mengurangkan  jumlah kematian haiwan liar seperti babi hutan dan rusa sambar akibat kemalangan jalan raya dari 2023 ke 2024.
Pagar penghalang sebegini telah mengurangkan jumlah kematian haiwan liar seperti babi hutan dan rusa sambar akibat kemalangan jalan raya dari 2023 ke 2024. - Foto FACEBOOK DESMOND LEE

Sebagai usaha untuk menghentikan kemalangan melibatkan hidupan liar dan kenderaan, pagar akan dibina di sembilan lagi lokasi di serata Singapura – meningkat daripada tiga lokasi buat masa ini – kebanyakannya di sepanjang jalan utama berhampiran Hutan Simpanan Bukit Timah dan Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah.

Langkah ini diambil selepas Lembaga Taman Negara (NParks) mendapati kes kematian hidupan liar seperti babi hutan dan rusa sambar akibat dilanggar kenderaan di kawasan tersebut telah turun, daripada enam kes pada 2023 kepada dua kes pada 2024.

“Kemalangan melibatkan kenderaan dan hidupan liar bukan sahaja membawa risiko serius kepada pemandu, penunggang dan penumpang, ia juga memberi kesan buruk kepada hidupan liar kita,” kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, dalam satu hantaran Facebook pada 14 April.

Beliau menambah, penurunan jumlah kes kematian hidupan liar akibat kemalangan di jalan raya menyusuli pemasangan pagar penghalang itu adalah satu perkembangan yang “menggalakkan”.

“Bagi melindungi pemandu dan hidupan liar dengan lebih berkesan, NParks akan meluaskan pemasangan pagar penghalang di sembilan lagi lokasi dalam tempoh dua tahun akan datang. Kawasan ini telah dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi berdasarkan insiden sebelum ini,” kata Encik Lee.

Pagar setinggi 1.8 meter itu – yang berfungsi menghalang mamalia besar daripada melompat melepasi pagar – akan dipasang secara berperingkat. Projek ini dijangka siap menjelang 2026, lapor The Straits Times (ST).

Panel licin juga akan dipasang pada bahagian bawah pagar tersebut untuk menghalang haiwan kecil seperti pelanduk daripada memanjat pagar dan melintasi jalan raya.

Encik Lee menyeru pengguna jalan raya supaya memainkan peranan mereka dengan memandu secara berhati-hati di sepanjang jalan yang bersebelahan dengan kawasan hutan, terutama di kawasan yang mempunyai tanda amaran lintasan haiwan.

“Bersama-sama, kita dapat bekerja ke arah visi ini dan menyesuaikan diri dengan kehadiran hidupan liar di bandar kita,” kata Encik Lee.

Pada 2024, dua ekor sambar dilaporkan mati di Mandai Road, berhampiran Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah, selepas berlaku kemalangan melibatkan haiwan dengan beberapa kenderaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg