Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPF) telah menutup Akaun Khas (SA) bagi sekitar 1.4 juta pencarum berusia 55 tahun dan ke atas pada 19 Januari.
Diumumkan dalam Belanjawan 2024, langkah tersebut bertujuan memastikan hanya simpanan CPF yang diperuntukkan untuk persaraan akan memperoleh kadar faedah jangka panjang lebih tinggi.
Dengan penutupan akaun SA, simpanan daripada SA dipindahkan ke Akaun Persaraan (RA) hingga mencapai Jumlah Persaraan Penuh (FRS) yang ditetapkan mengikut kohort usia masing-masing.
Simpanan dalam RA itu memperoleh kadar faedah jangka panjang – kini sebanyak 4 peratus setahun – mulai Januari.
Setelah dipindahkan ke RA, baki simpanan dalam SA akan dipindahkan ke Akaun Biasa (OA) dengan kadar faedah 2.5 peratus setahun, dan pencarum mempunyai fleksibiliti untuk mengeluarkan simpanan ini apabila diperlukan.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 19 Januari, lembaga itu berkata:
“Jika pencarum ingin terus memperoleh kadar faedah lebih tinggi sebanyak 4 peratus setahun dan menikmati bayaran persaraan bulanan lebih tinggi, mereka boleh memindahkan simpanan OA mereka ke RA hingga jumlah yang ditetapkan dalam Jumlah Persaraan Dipertingkat (ERS) untuk tahun semasa.
“Pindahan ini tidak boleh dipulangkan kembali (ke OA), dan perlu dilakukan sebelum Januari 2025 jika pencarum ingin mula memperoleh faedah lebih tinggi pada bulan tersebut.”
Pencarum CPF akan dimaklumkan mengenai penutupan SA mereka mulai 20 Januari melalui surat, e-mel atau mesej Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).
Mereka boleh memeriksa jumlah yang dipindahkan ke RA atau OA mereka melalui sejarah transaksi dalam akaun CPF mereka di laman web atau aplikasi mudah alih CPF.
Lembaga CPF turut menasihati pencarum agar berhati-hati terhadap penipu yang menyamar sebagai kakitangannya, pegawai pemerintah atau individu dilantik.
Taktik penipuan termasuk meminta butiran peribadi atas dasar memberi ‘nasihat’ mengenai CPF atau skim insurans berkaitan CPF atau menawarkan cara untuk memperoleh pulangan lebih tinggi melalui pelaburan.
Dalam pada itu, ERS telah dinaikkan daripada tiga kali kepada empat kali ganda Jumlah Persaraan Asas (BRS) bagi menyokong pencarum CPF yang ingin menerima bayaran persaraan lebih tinggi.
Ini bermakna ERS akan dinaikkan kepada $426,000 pada 2025.
Bagi jumlah ini, pencarum boleh menerima bayaran bulanan hingga $3,300 sepanjang hayat mulai usia 65 tahun.
Di samping itu, sejumlah $61 juta geran pemadanan telah disalurkan ke RA lebih 103,000 pencarum pada Januari 2025 dengan sembilan daripada 10 pencarum menerima geran maksimum sebanyak $600.
Ini di bawah Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan (MRSS) yang dilancarkan pada 2021, bertujuan membantu warga emas yang kurang simpanan.
Mulai 1 Januari 2025, had umur untuk MRSS telah ditiadakan dan geran pemadanan telah dinaikkan kepada $2,000 setahun, dengan had maksimum $20,000 sepanjang hayat pencarum yang layak.
Ini akan membolehkan lebih 740,000 pencarum pada 2025 menikmati manfaat ini.
Mereka yang layak akan diberitahu melalui e-mel atau surat pada Februari hingga Mac 2025.
Pencarum boleh memeriksa kelayakan mereka untuk MRSS melalui cpf.gov.sg atau menggunakan pemeriksa kelayakan MRSS yang tersedia di laman web CPF.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg