Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemerintah hasrat warta 38 Oxley Road sebagai Monumen Negara

Akan timbang pilihan sebelum buat keputusan berkait cara pemeliharaan
Nov 3, 2025 | 7:25 PM
Singapura, Oxley Road, Lee Kuan Yew, warta
Tapak rumah mendiang Perdana Menteri Pengasas Singapura, Encik Lee Kuan Yew, di 38 Oxley Road. Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo, berkata hasrat untuk mewartakan tapak tersebut sebagai Monumen Negara mengiktiraf kepentingan sejarah dan kepentingan negara. - Foto ST

Pemerintah berhasrat untuk mewartakan 38 Oxley Road sebagai Monumen Negara berikutan cadangan yang dibuat oleh Lembaga Warisan Negara (NHB) dan penilaian yang dilakukan oleh Lembaga Penasihat Pemeliharaan Tapak dan Monumen (PSM).

Dalam memelihara tapak tersebut, pemerintah akan “mempertimbangkan semua pilihan”, termasuk yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Menteri mengenai 38 Oxley Road pada 2018, kata NHB dan Penguasa Tanah Singapura (SLA) dalam pengumuman pada 3 November.

Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo, berkata hasrat untuk mewartakan tapak tersebut sebagai Monumen Negara mengiktiraf kepentingan sejarah dan kepentingan negara.

“Tapak tersebut menjadi saksi kepada perbincangan dan keputusan penting yang membentuk perjalanan sejarah Singapura untuk menjadi sebuah negara merdeka,” kata Encik Neo.

“Ini akan memelihara bahagian penting dalam perjalanan kemerdekaan kita untuk generasi akan datang”.

Walaupun keputusan belum dibuat tentang cara untuk memeliharanya, NHB dan SLA berkata pemerintah akan menjalankan kajian terperinci jika akses telah diperolehi, dan akan membuat keputusan mereka “dalam penggal pemerintah ini”.

Antara cadangan yang dipertimbangkan termasuk perobohan sebahagian atau sepenuhnya bangunan dan struktur, dan mengubahnya menjadi ruang awam seperti taman warisan, tambah kededua agensi itu.

NHB dan SLA berkata jika Arahan Pemeliharaan dibuat, pemerintah berhasrat untuk memperoleh tapak tersebut untuk melindunginya dan memeliharanya selaras dengan kepentingan sejarah dan negara.

Dengan 38 Oxley Road dijadualkan menjadi ruang awam, ini bermakna ia tidak boleh dibangunkan semula untuk kegunaan kediaman, komersial atau kegunaan persendirian yang lain.

“Memelihara tapak tersebut tidak mewajibkan pemerintah untuk memelihara semua bangunan dan struktur di tapak tersebut dalam keadaan semasa.

“Tidak kira pilihan yang diambil, pemerintah akan menghormati kehendak (mendiang) Encik Lee Kuan Yew, dan akan menghapuskan semua kesan ruang kediaman peribadi Encik Lee dan keluarganya dari bangunan tersebut,” tambah mereka.

Ini merupakan perkembangan terkini dalam pertikaian yang berlarutan mengenai nasib rumah keluarga Encik Lee di 38 Oxley Road, yang kini dimiliki oleh Encik Lee Hsien Yang, adik Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.

Isu tersebut timbul semula pada Oktober 2024 selepas anak perempuan Encik Lee Kuan Yew, Dr Lee Wei Ling – yang tinggal di rumah tersebut selepas kematian Encik Lee Kuan Yew pada 2015 – meninggal dunia.

Encik Lee Hsien Yang kemudiannya mengemukakan permohonan pada 21 Oktober 2024 kepada Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) untuk merobohkan rumah tersebut.

Susulan itu, NHB melancarkan penilaian rasmi tapak tersebut pada 24 Oktober 2024, selaras dengan proses yang ditetapkan di bawah Akta Pemeliharaan Monumen 2009, untuk menentukan sama ada ia layak untuk dipelihara sebagai Monumen Negara.

Pada 3 November, pihak berkuasa berkata NHB telah mengesyorkan pemuliharaan tapak tersebut, selepas Lembaga Penasihat PSM mendapati ia mempunyai “kepentingan negara, dengan merit sejarah yang besar”.

NHB berkata ia telah memberikan pemilik hartanah tersebut, Encik Lee Hsien Yang, notis bertulis menyatakan hasrat Encik Neo untuk mengeluarkan arahan pemeliharaan.

Di bawah Akta Pemeliharaan Monumen 2009, Encik Lee Hsien Yang akan diberi masa dua minggu – sehingga 17 November – untuk mengemukakan sebarang bantahan.

Encik Neo, selaku Menteri, akan mempertimbangkan setiap bantahan sebelum membuat keputusan muktamad sama ada untuk membuat perintah bagi memelihara tapak tersebut sebagai Monumen Negara, kata pihak berkuasa.

Setiausaha Akhbar kepada Encik Lee Hsien Loong pada 3 November berkata SM Lee telah menarik diri daripada perkara itu sejak 2017 dan beliau “tiada komen untuk ditambah.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg