Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lembaga Pengiktirafan Asatizah: Tidak tepat kait Noor Deros sebagai guru Islam S’pura

Apr 26, 2025 | 8:01 PM
asatizah
Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) mengeluarkan satu kenyataan pada 26 April bagi menjelaskan bahawa kaitan awam baru-baru ini yang mengenal pasti Encik Mohammed Noor Mohammed Deros sebagai seorang guru agama di Singapura adalah tidak tepat dan mengelirukan. - Foto ARB

Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) dalam satu kenyataan pada 26 April berkata adalah “tidak tepat dan mengelirukan” untuk mengaitkan Encik Mohammed Noor Mohammed Deros yang juga dikenali sebagai Encik Noor Deros sebagai guru agama Islam Singapura.

ARB menyatakan bahawa Encik Mohammed Noor “tidak pernah mendapat pengiktirafan di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), lantas tidak dibenarkan berdakwah di Singapura”.

ARB menambah bahawa Encik Mohammed Noor telah memohon untuk diiktiraf pada 2017, namun permohonannya tidak berjaya “gara-gara keengganannya mematuhi Kod Etika (CoE) ARS”, meskipun selepas diberi kaunseling oleh pihak lembaga.

CoE ialah satu rangka kerja yang diwujudkan untuk memastikan kebertanggungjawapan dan integriti dalam kalangan guru agama, di samping memelihara perpaduan, keamanan dan keharmonian di Singapura, kata ARB lagi.

Setiap permohonan untuk pengiktirafan sebagai guru agama, serta kes-kes yang melibatkan pelanggaran CoE, akan dinilai secara bebas oleh ARB.

Lembaga ini terdiri daripada 12 anggota kanan dalam kalangan asatizah yang mewakili pelbagai sektor dan bidang kepakaran dalam masyarakat Islam.

Pada masa ini, skim ini telah mengiktiraf lebih 5,000 guru bertauliah yang diberi kebenaran untuk mengajar agama Islam di Singapura.

Guru-guru yang diiktiraf ini memahami sepenuhnya konteks masyarakat berbilang agama dan kaum di Singapura, dan menyumbang secara aktif ke arah memperkukuh perpaduan sosial di negara ini, tambah ARB.

Kenyataan ARB ini timbul selepas Encik Mohammed Noor mendakwa dalam hantaran Facebook beliau bahawa beliau telah berbual dengan semua calon Melayu daripada Parti Pekerja (WP) dan menggesa parti itu untuk mengutamakan hak-hak dan kepentingan masyarakat Melayu/Islam.

Laporan berkaitan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg