Berikut merupakan kenyataan guru agama, Encik Mohammed Noor Mohammed Deros yang dibuat menerusi Facebook mengenai hantarannya:
“Membetulkan salah faham berkenaan hantaran saya pada lampiran.
Ada pihak mentafsirkan hantaran saya (sebelum ini) sebagai membawa maksud bahawa WP (Parti Pekerja) telah bersetuju dengan permintaan-permintaan tersebut.
Ini adalah tafsiran dan andaian yang salah.
‘Sahut permintaan’ tidak sama dengan ‘bersetuju dengan permintaan’.
‘Sahut’ boleh membawa maksud ‘mendengar, memberi perhatian, melayan’.
Kenyataan-kenyataan saya selepas itu mesti diambil kira dan jika diambil kira maka akan jelas maksudnya:
“Sejauh ini, hanya WP sahaja yang mengambil serius perkara itu”.
‘Mengambil serius’ tidak semestinya bermakna ‘bersetuju dan berjanji menunaikan’.
Saya juga kata selepas itu, “walaupun WP belum beri janji yang benar-benar konkrit namun saya dan beberapa asatizah hargai kesediaan mereka berbincang dengan kami”.
Kenyataan ini jelas menafikan adanya apa-apa janji yang konkrit untuk menunaikan apa-apa daripada permintaan tersebut.
Yang kami hargai adalah kesediaan mereka berbincang dengan kami, bukan persetujuan dan janji yang mereka berikan.
Hantaran-hantaran saya selepas itu juga menunjukkan bahawa saya tidak melakukan janji bersyarat saya.
Itu menunjukkan bahawa syarat itu tidak terjadi; tiada janji yang diberikan oleh pihak WP.
Harap ini dapat menjelaskan salah faham yang timbul dari hantaran tersebut.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg