Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid Daerah Barat berwawasan demi jemaah

Jan 17, 2025 | 5:34 PM
Superintenden Daerah Masjid (Daerah Barat), Ustaz Dr Suhaimi Mustar (kanan), menyelia 16 masjid di kawasan Barat.
Superintenden Daerah Masjid (Daerah Barat), Ustaz Dr Suhaimi Mustar (kanan), menyelia 16 masjid di kawasan Barat. - Foto MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA (MUIS)

Tugas Superintenden Daerah Masjid (Daerah Barat), Ustaz Dr Suhaimi Mustar, bukan mudah.

Antara peranan digalasnya termasuk memantau 16 masjid di daerah Barat Singapura – seperti Masjid Al-Firdaus, Darussalam dan Pusara Aman – demi memastikan kegiatan dan program masjid dijalankan dengan baik.

“Kami memastikan program-program ini berkesan dalam memenuhi keperluan masyarakat Islam,’’ ujar Ustaz Dr Suhaimi, yang dilantik Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sejak Oktober 2022, kepada Berita Harian (BH). Sebelum ini, beliau pernah menyandang beberapa jawatan termasuk Pengurus Besar Masjid Kelompok Barat dan Pengerusi Masjid Assyakirin dan Al-Mukminin.

Menurutnya, pejabat daerah membantu memperkasa dan menyokong pemimpin serta kakitangan masjid mengendalikan isu-isu sosio-agama masyarakat dan mempertingkatkan keupayaan masjid.

Bagi mencapai (matlamat tersebut), pasukannya melihat pada dua perkara, iaitu pendekatan strategik serta operasi masjid.

Dari sudut operasi, beliau memastikan kegiatan masjid dijalankan dengan baik. Beliau turut menyelia pengagihan dana zakat dan fidyah masjid yang diuruskan pegawai pembangunan sosial masjid.

Dari sudut strategik pula, Ustaz Dr Suhaimi memastikan kepimpinan masjid kekal relevan bagi memenuhi keperluan masyarakat. Ini melibatkan usaha memahami isu-isu dan cabaran semasa dihadapi jemaah.

Beliau juga memastikan perancangan strategik masjid dan dana masjid digunakan secara mampan.

Ditanya bagaimana beliau mengimbangi masa memantau banyak masjid, Ustaz Dr Suhaimi berkata:

“Amat penting membangunkan pasukan pemimpin yang kukuh di Pejabat Daerah dan masjid. Pasukan yang baik adalah tunggak pengurusan masjid bagi memastikan operasi berjalan lancar di semua tempat.’’

Selain itu, pihaknya memastikan agar sentiasa menjalinkan komunikasi jelas dan terbuka “supaya mudah kami menyampaikan maklumat atau menyelesaikan masalah”.

Masjid-masjid sentiasa memikirkan program menarik lagi kreatif bagi mendapatkan lebih ramai jemaah mengunjungi masjid.

Antara kegiatan khusus ditawar masjid-masjid di Barat ialah Darul Tafsir Singapura yang merupakan inisiatif Masjid Al-Khair di Teck Whye.

Dibentuk pada 2007, ia berfungsi sebagai hab dinamik untuk pengajian tafsir sesuai dengan misinya agar individu Muslim menghayati Al-Quran dalam hati, minda, dan tingkah laku.

Mengulas tentang keunikan Darul Tafsir, Ketua Darul Tafsir Singapura dan Pengurus Masjid, Masjid Al-Khair, Ustaz Faheem Khalil, berkata:

“Apa yang membezakan Darul Tafsir ialah tumpuannya mahu menjadikan ajaran Al-Quran praktikal dan boleh digunakan dalam kehidupan harian.

“Tidak seperti program Al-Quran tradisional, Darul Tafsir Singapura ingin merapatkan ajaran Al-Quran agar dapat diselami oleh orang ramai daripada semua peringkat umur dan latar belakang, dan dapat juga menangani isu-isu kontemporari.’’

Inisiatif Darul Tafsir Singapura telah mengecap pelbagai pencapaian, antaranya membina kurikulum padat untuk subjek Quran dan Sains bagi pelajar menengah satu hingga tiga Madrasah Al-Arabiah; menerbitkan pelbagai buku seperti siri Pesanan Ilahi: Renungkanlah, Pesanan Ilahi: Fikirkanlah, Pesanan Ilahi: Cerminkanlah yang boleh dibeli di kedai buku Multimedia dan From God to Us: The Kingdom, A Reflection on Surah Al-Mulk yang boleh dibeli di kedai buku Wardah; dan menghasilkan siri animasi sebanyak 12 episod, Kahfi Hour, berkenaan Surah Al-Kahf.

Selain kelas tafsir bagi pelbagai peringkat usia, mereka juga memperkenalkan Tafsir Bit iaitu Tafsir Ringkas melalui WhatsApp yang membolehkan orang ramai mendapat pengetahuan mengenai tafsir setiap hari melalui WhatsApp dan podcast yang mengetengahkan asatizah yang membincangkan mengenai tafsir.

Di Masjid Darussalam di Clementi pula, pihaknya memperkenalkan Siri Hijrah, sebuah program asas agama bagi golongan yang ingin mendekatkan diri dengan masjid, dan berasa lebih selesa untuk belajar agama dan beribadah.

Mengulas tentang matlamat Siri Hijrah, Pengurus Masjid Darussalam, Ustaz Harunarrashid Zainudin, berkata:

“Tujuannya untuk memberi bimbingan supaya masyarakat lebih yakin dan bermotivasi dalam penghijrahan. Kami juga mahu memastikan masyarakat mendapat pengetahuan asas solat dan agama, berasa selesa di masjid untuk beribadah dan melakukan kerja amal; serta memberi ruang kepada mereka menjadi sukarelawan di masjid dan menyumbang semula kepada masyarakat.”

Menerusi Siri Hijrah ini, masjid tersebut menawarkan program GengStart Solat; GengStart Fardhu Ain Asas; Geng Hijrah Masjid; dan Akademi Hijrah.

“Kami juga menawarkan ruang konsultasi untuk masyarakat mendapat nasihat dan bimbingan untuk memulakan pengalaman hijrah mereka,” kata Ustaz Harunarrashid.

Bermula tahun ini, Masjid Darussalam memperluas Siri Hijrah itu. Ia sedang melakarkan kelas GengStart Solat Asas, kelas GengStart persiapan Ramadan dalam talian, program GengStart semasa Ramadan dan kelas Akademi Hijrah di penjara.

“Kami harap dengan Siri Hijrah ini, jemaah akan lebih selesa untuk ke masjid bagi mendapat bimbingan dan nasihat daripada asatizah yang bertauliah dan yang boleh memahami keadaan mereka.

“Kami juga berharap masyarakat umum boleh memberi peluang dan ruang kepada semua untuk datang ke masjid tanpa mengira latar belakang ataupun sejarah silam masing-masing,” jelas Ustaz Harunarrashid.

Sejajar dengan usaha memperkukuhkan rangkaian masjid di sini, Muis bakal menganjurkan Persidangan Satu Masjid (One Mosque Summit) pada 8 Februari 2025 bagi menyediakan wadah untuk masjid-masjid berkongsi amalan terbaik mereka. Acara tersebut juga bertujuan memperkukuhkan visi sektor masjid, menggalak kerjasama dan meraikan sumbangan besar para pemimpin dan kakitangan masjid.

Selaras dengan itu, Ustaz Dr Suhaimi berharap usaha yang dilakukan dapat memupuk rasa tanggungjawab serta semangat kekitaan dalam kalangan pemimpin masjid serta masyarakat am bagi membangunkan institusi penting agama Islam di Singapura ini.

Beliau juga berharap dapat mendekati semua lapisan masyarakat, khususnya golongan warga emas dan belia, dan menghulurkan bantuan yang tepat kepada mereka yang memerlukan, termasuk yang ingin mendapatkan pendidikan Islam namun tidak berkeupayaan.

“Tiada sesiapa yang tinggal di kawasan masjid yang harus berasa terpinggir, tidak mendapat bantuan atau pendidikan agama, semata-mata kerana isu kewangan,” kata Ustaz Dr Suhaimi, penuh harapan.

(SEKILAS)

Antara kegiatan di masjid Kelompok Barat:

1. Mudik ke Hulu@Masjid Tentera Di-Raja

– Program hapuskan tatu bagi individu Muslim tidak kira usia. Lebih 900 peserta berusia 12 tahun hingga 57 tahun telah memanfaatkan program ini.

2. Pendidikan Islam

– Pembelajaran Islam Dewasa (ADIL)

– Darul Tafsir Al-Quran di Masjid Al-Khair

3. Penglibatan Masyarakat dan Pembangunan Kepimpinan

– Jawatankuasa Pemandu Qaryah bagi tingkatkan komunikasi dan pentadbiran rangkaian Qaryah

– Jawatankuasa Muslimah Daerah Barat bagi perkasa wanita Islam

– Inkubator Kepimpinan Belia Daerah Barat bagi lahirkan pemimpin belia relawan sebagai anggota MMB pada masa hadapan

4. Pembelajaran Islam bagi Belia Berisiko

– Dikendalikan pegawai pembangunan belia bagi penghuni Rumah Tumpangan Lelaki Singapura, Melrose Home dan Berek Penahanan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF)

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg