Nasib sebilangan rakyat Singapura yang terkandas di Jakarta, Indonesia susulan pembatalan penerbangan berikutan letusan Gunung Anak Krakatau masih terumbang-ambing, dengan ramai yang menantikan jawapan tentang bilakah mereka boleh pulang ke tanah air.

Kebanyakan rakyat Singapura yang dihubungi Berita Harian (BH) memberitahu bahawa mereka masih menunggu penerbangan ganti dan terpaksa melanjutkan penginapan di hotel di Jakarta, Indonesia tanpa kepastian bila mereka dapat kembali ke Singapura.

Sementara itu, ada yang telah berjaya memperoleh tarikh keberangkatan baharu, walaupun masih ragu-ragu sama ada penerbangan tersebut akan diteruskan mengikut jadual atau dibatalkan semula.

Meskipun hanya dimaklumkan mengenai status penerbangan pada saat-saat akhir – sehingga ada yang terpaksa menunggu sekitar tiga jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta – mereka mengesahkan keadaan kekal tenang dan selamat sambil menantikan maklumat lanjut daripada syarikat penerbangan masing-masing.

Dalam pada itu, beberapa rakyat Singapura di sini memberitahu BH bahawa percutian atau perjalanan mereka ke Jakarta terpaksa dibatalkan atau ditangguhkan susulan pembatalan penerbangan ke ibu kota Indonesia itu.

Antara yang terjejas ialah Encik Suaidi Maswari, 62 tahun, yang dijadualkan pulang ke Singapura pada 8 malam, 7 September menaiki pesawat Scoot, TR 279.

Namun, beliau menerima mesej dan e-mel mengenai pembatalan penerbangan pada sekitar 8 pagi hari tersebut.

Beliau, yang telah ke Bandung bersama isteri dan rakan-rakan mereka untuk bercuti dari 3 hingga 7 September, berkata:

“Apabila kami lihat aplikasi Scoot pada malam 6 September, kami lihat penerbangan kami masih dalam jadual. Hanya penerbangan pada 2 petang yang dibatalkan.

“Tetapi pada sekitar 8 pagi (7 September), kami dapat mesej dari Scoot bahawa penerbangan kami dibatalkan.

“Kami di sini semua okay, cuma risau sedikit mengenai penerbangan...tak nak lah terkandas lama sangat di sini,” kata pustakawan yang bertugas di SPH Media itu.

Setakat ini, menurutnya, tiada perkembangan lanjut daripada Scoot mengenai penerbangan ganti mereka.

Rombongan seramai enam orang itu telah meluangkan masa di Bandung dari 3 hingga 6 September, dan sudah merancang untuk bermalam di Jakarta – Hotel Novotel Jakarta Mangga Dua Square – pada malam itu sebelum pulang.

Disebabkan itu, mereka terpaksa menambah dua lagi malam di Jakarta hingga 8 September.

Beliau menambah bahawa keadaan di sana kekal tenang dan hanya debu halus yang dirasai, dengan hanya segelintir penduduk tempatan memakai pelitup muka.

Jarak antara lokasi mereka dengan Gunung Anak Krakatau juga jauh, sekitar 150 kilometer, katanya.

Tangkap layar mesej daripada Scoot yang memberitahu penumpang bahawa penerbangan mereka sudah dibatalkan.
Tangkap layar mesej daripada Scoot yang memberitahu penumpang bahawa penerbangan mereka sudah dibatalkan. - Foto TANGKAP LAYAR SUAIDI MASWARI

Berkongsi pengalamannya, Pengarah Eksekutif Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri, Ustaz Mas’udin Syarifuddin, 46 tahun, pula berkata bahawa beliau langsung tidak diberitahu mengenai pembatalan penerbangannya pada 6 September dan hanya mengetahui tentang perkara itu apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.

Beliau dijadualkan menaiki penerbangan Garuda Indonesia, GA822, pada 7.30 malam hari tersebut.

Menurutnya, beliau tidak dapat sebarang perkembangan walaupun berita sudah menyiarkan mengenai pelbagai pembatalan penerbangan.

Ustaz Mas’udin, yang berada di sana untuk menghadiri satu persidangan agama di Bogor pada 4 hingga 6 September, berkata:

“Barisan di kaunter penerbangan antarabangsa ‘mengular’ panjang. Proses itu menjadi lebih cepat hanya selepas mereka membuka laluan baharu.

“Selepas berada di situ, barulah kami dimaklumkan bahawa penerbangan tidak dapat berlepas dan ditangguhkan,” katanya, sambil menambah bahawa beliau perlu menunggu hampir tiga jam untuk mendapatkan kepastian itu.

Beliau kemudian ditawarkan penerbangan paling awal ke Singapura, iaitu pada 5 pagi, 9 September.

Orang ramai beratur panjang di kaunter penerbangan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 6 September.
Orang ramai beratur panjang di kaunter penerbangan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 6 September. - Foto ihsan MAS’UDIN SYARIFUDDIN

Turut melalui pengalaman serupa ialah Encik Mohksin Rashid, yang juga menghadiri persidangan itu bersama rakan kerjanya daripada AMP Singapura.

Beliau mula memerhatikan terdapat habuk halus pada pagi 6 September – suatu perkara yang aneh kerana beliau masih dapat menikmati udara segar di Bogor pada hari sebelumnya.

“Pada pagi itu, rakan kerja saya beritahu bahawa persekitaran terasa sangat berdebu... selepas duduk sebentar sahaja, skrin telefon kami sudah dilitupi lapisan seperti abu.

“Perabot di luar bangunan juga mula disaluti debu tebal. Apabila dilap, memang jelas kelihatan kesannya,” katanya.

Encik Mohksin, yang merupakan Pengarah Eksekutif, AMP Singapura, pada awalnya dijadualkan pulang ke Singapura menaiki penerbangan Scoot, TR273, pada 10.15 malam, 6 September, sebelum ia dibatalkan.

Beliau berkongsi bahawa mereka mengambil langkah awal menempah hotel berdekatan lapangan terbang itu, walaupun Scoot belum membuat pengumuman rasmi pada waktu tersebut.

Encik Mohksin sudah menjangkakan penerbangan mereka bakal dibatalkan kerana beliau mendapati lapangan terbang tersebut sudah mula menggantungkan operasinya pada 10 pagi.

“Kami menjangkakan penerbangan ini berkemungkinan besar akan dibatalkan kerana menurut pemandu kami, insiden serupa pada tahun lalu (2025) menyebabkan lapangan terbang ditutup selama tiga hari.

“Menjelang petang, kami dapati ramai pengunjung menarik bagasi dari satu hotel ke satu hotel lain.

“Ada yang terpaksa berulang-alik kerana kebanyakan penginapan di sekitar kawasan berkenaan sudah ditempah penuh,” katanya, yang dimaklumkan secara rasmi mengenai pembatalan penerbangan mereka antara 3 hingga 4 petang.

Sementara itu, suasana di Terminal 2 Lapangan Terbang Changi – yang menempatkan kaunter penerbangan Singapore Airlines (SIA) dan Scoot ke Jakarta – kelihatan agak tenang apabila BH ke sana pada petang 7 September.

Namun, terdapat barisan panjang bagi mereka yang ingin ke Surabaya.

Dalam satu kenyataan SIA di laman X pada 7 September, ia berkata bahawa penumpang SIA yang berlepas dari Jakarta boleh menempah semula penerbangan yang lain dari Indonesia.

Sementara itu, mereka yang berlepas dari Singapura boleh menempah semula penerbangan alternatif SIA ke Indonesia.

“SIA turut menawarkan penerbangan tambahan antara Singapura dengan Surabaya, tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk,” kata kenyataan itu.

Sehingga pagi 7 September, SIA dan Scoot memaklumkan menerusi laman web masing-masing bahawa kesemua penerbangan laluan ulang-alik antara Singapura dengan Jakarta bagi hari berkenaan telah dibatalkan.

Setakat akhbar ini dicetak, penerbangan pada 8 September berjalan mengikut jadual untuk kededua syarikat penerbangan tersebut.

Namun, hanya penerbangan dari Jakarta ke Singapura bagi pesawat SQ951 pada 5.25 pagi sudah dibatalkan.

Kesemua penerbangan dari Singapura ke Jakarta dibatalkan pada 7 September di Lapangan Terbang Changi, Terminal 2.
Kesemua penerbangan dari Singapura ke Jakarta dibatalkan pada 7 September di Lapangan Terbang Changi, Terminal 2. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Kebanyakan mereka yang sepatutnya berlepas ke Jakarta dari Singapura pada 7 September memaklumkan hanya mengetahui tentang pembatalan penerbangan itu pada malam sebelum tarikh berlepas.

Namun, reaksi cemas dan berbelah bahagi mula timbul sebaik sahaja berita penggantungan operasi lapangan terbang di Jakarta diterima.

Antara mereka ialah pelajar sambilan program Sarjana Muda Pengajian Islam di Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri, Encik Muhammad Syafiqi Shamser, 28 tahun, yang sudah membuat persiapan untuk ke Bogor bagi mengikuti lawatan sambil belajar selama tiga hingga empat hari di Universitas Ibn Khaldun Bogor (UIKA).

Ia adalah lawatan tahunan yang perlu dijalani pelajar di sana.

Menurutnya, beliau dijadualkan menaiki pesawat TransNusa, 8B-154, pada 3.30 petang. Namun, beliau menerima berita pembatalan penerbangan pada tengah malam 7 September.

Berkongsi mengenai status pengajiannya, Encik Syafiqi berkata bahawa salah satu syarat utama program ijazah mereka adalah untuk menyempurnakan satu modul di UIKA pada setiap tahun.

Modul yang ditawarkan juga berbeza bagi setiap tahun.

“Pihak Al-Zuhri dan UIKA sedang berbincang untuk menyediakan alternatif agar kami dapat menyempurnakan modul tersebut secara dalam talian.

“Pada mulanya, memang rasa sedih kerana kebanyakan daripada kami amat menantikan lawatan ini.

“Sebelum ini, kebanyakan modul kami bersama UIKA memang dijalankan secara dalam talian, jadi kami jarang dapat berkumpul dan mengadakan perbincangan kumpulan secara bersemuka.

“Apabila mendapat peluang untuk ke Bogor bersama rakan sekelas, ia merupakan satu pengalaman yang kami nantikan,” katanya.

Encik Muhammad Syafiqi Shamser (kiri) bersama rakan-rakan sekelasnya ketika di Universitas Ibn Khaldun Bogor (UIKA), Indonesia pada 2025.
Encik Muhammad Syafiqi Shamser (kiri) bersama rakan-rakan sekelasnya ketika di Universitas Ibn Khaldun Bogor (UIKA), Indonesia pada 2025. - Foto ihsan SYAFIQI SHAMSER

Turut melalui pengalaman sama ialah Cik Siti (bukan nama sebenar) yang dijadualkan ke Jakarta menaiki penerbangan SQ956 pada 9 pagi, 7 September, namun mendapat tahu tentang pembatalan itu sehari sebelumnya pada 9 malam.

Beliau dan ibu bapanya serta tiga anak saudaranya telah merancang ke Jakarta dan Bandung untuk percutian sempena cuti sekolah September.

Cik Siti berkata Scoot telah menawarkan alternatif, iaitu sama ada menempah semula penerbangan lain ke destinasi yang sama dalam tempoh 14 hari, atau mendapatkan pengembalian wang penuh melalui baucar.

Beliau akhirnya memilih pengembalian penuh wangnya melalui baucar kerana tempoh 14 hari terlalu singkat untuk merancang semula perjalanan serta memohon cuti baharu. – Laporan tambahan oleh SHADI HANNAN