Lima bapa daripada latar belakang berbeza, termasuk ahli politik, pemimpin agama dan pegawai pendidikan khas, tampil dalam video dua minit bagi menyampaikan pesanan kepada anak mereka yang bakal menerima keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) minggu hadapan.
Mereka menasihati agar keputusan itu tidak dijadikan ukuran nilai diri mereka, dan mengingatkan bahawa ia hanyalah satu fasa dalam perjalanan pendidikan yang lebih panjang.
Video tersebut dikongsi di media sosial oleh peguam dan Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, yang turut tampil dalam rakaman itu.
Beliau kini mengetuai pasukan bertindak Nakhoda di bawah gerakan Bapa Sepanjang Hayat, setelah mengambil alih peranan itu daripada Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, pada Julai 2025.
Murid yang menduduki PSLE pada 2025 bakal menerima keputusan mereka mulai 11 pagi, pada 25 November.
Dalam video tersebut, kelima-lima bapa berkenaan berkongsi pesanan penuh dorongan dan ketenangan.
Antara lain, mereka mengingatkan bahawa peperiksaan hanyalah satu peringkat dalam laluan pendidikan, dan kebahagiaan atau kejayaan masa depan tidak ditentukan oleh satu pencapaian semata-mata.
Encik Zhulkarnain menekankan bahawa rasa bangga seorang ayah tidak bersandar pada keputusan peperiksaan semata-mata.
“Kita akan bangga, tidak kira apa pun keputusannya,” katanya dalam video itu.
Apa yang bapa kepada empat anak itu harapkan ialah anaknya menjadi “seorang yang menyumbang kepada masyarakat, warga yang lebih mengasihi satu sama lain dengan orang yang tersayang, dan menjadi anak yang soleh”.
Pegawai Pendidikan Keperluan Khas Sekolah Menengah Clementi Town, Encik Mohammad Ridzwan Samsuri, pula menekankan bahawa peperiksaan tidak menentukan nilai atau masa depan seseorang.
Bapa kepada dua anak itu menzahirkan rasa bangganya sambil menekankan bahawa peperiksaan tersebut “hanya satu fasa kehidupan” dan “ia tidak menjamin kejayaan atau kebahagiaan beliau pada masa hadapan”.
Di tengah-tengah persiapan menghadapi peperiksaan itu, apa yang paling menyentuh hati bagi bapa empat anak, Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid, ialah kesabaran dan ketabahan yang ditunjukkan anaknya sepanjang musim tersebut selepas seharian di sekolah, kelas tambahan dan sebagainya.
“Saya sangat suka melihat kualiti ini terbina dan terbentuk di dalam keperibadian anak saya ini,” kata beliau yang juga Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas).
Dalam hantaran di Facebooknya pada 22 November, Encik Zhulkarnain turut mengingatkan bahawa “nilai seorang anak tidak pernah ditentukan oleh sehelai kertas”.
“Jadilah suara yang mengangkat anak kita. Berdiri bersama, ucapkan harapan, bangunkan semangat mereka. Keputusan bukan menentukan nilai mereka, tetapi kasih, usaha dan doa yang membentuk mereka,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg