Dalam tugasnya sebagai Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman, sering berjumpa dengan pelajar, baik dari sekolah rendah, menengah mahupun di institusi pendidikan tinggi (IHL).
Sering juga beliau akan berinteraksi dengan mereka. Kadangkala perkongsian para pelajar ini akan meninggalkan rasa sedih dalam hati.
“Apabila saya berbual dengan pelajar, ada di antara mereka yang akan berkongsi renungan mereka ‘Kadang saya tertanya diri sendiri, apa yang ingin saya lakukan pada masa hadapan?’.
“Dan kadangkala saya berasa sedih kerana ia memberi saya gambaran mungkin mereka bukan sebahagian daripada perbualan (bersama ibu bapa), mereka bukan sebahagian daripada proses membuat keputusan itu kerana ibu bapa yang memberitahu mereka apa yang terbaik untuk mereka,” kongsi Dr Maliki.
Beliau mengetengahkan kisah tersebut ketika membincangkan perubahan pada landskap pendidikan serta hala tuju yang telah diambil Kementerian Pendidikan (MOE) saban tahun.
Pendidikan bukan sekadar untuk mendapatkan sijil, tekan Dr Maliki.
Ia merupakan ruang pembangunan bagi seseorang yang boleh memperkasanya dengan kemahiran yang tepat untuk ke fasa seterusnya dalam hidup.
Kata beliau: “Kami mahu ibu bapa memahami apa yang kami cuba lakukan. Ruang pendidikan lebih daripada sekadar mendapat ijazah, mendapat diploma, mendapat sijil.
“Ia lebih kepada anak anda membesar menjadi seseorang yang yakin, yang telah diperkasa dengan set kemahiran yang tepat untuk ke fasa seterusnya dalam hidupnya – bukan setakat belajar dan mendapatkan sijil, dan kemudian bertanya kepada diri sendiri, ke mana arah tuju saya sekarang, siapakah diri saya?”
Adalah penting bagi ibu bapa memahami perkara ini dan untuk bekerjasama dengan sekolah demi kebaikan dan masa depan anak mereka.
“Kami ingin menyampaikan mesej kepada pelajar dan ibu bapa bahawa pelajar mempunyai keupayaan untuk memutuskan apa yang mereka mahu serta minat mereka, dan kami mahu mereka gembira.”
Oleh yang demikian, adalah penting bagi ibu bapa bekerjasama dengan kaunselor Pendidikan dan Bimbingan Kerjaya (ECG) di sekolah, yang dapat menasihati anak mereka apakah jalan terbaik yang boleh diambil.
Perjalanan pendidikan yang tersedia adalah rencam, kata Dr Maliki, semasa temubual dengan Berita Harian (BH), susuli perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) di ibu pejabat MOE.
“Ibu bapa mesti tahu apakah kurikulum pembelajaran di maktab rendah (JC) dan apakah gaya pembelajaran anak mereka? Adakah gaya pembelajaran anak itu sesuai baginya (kurikulum JC)?
“Adakah gaya pembelajaran anak itu sesuai untuk pendidikan di politeknik atau adakah gaya pembelajaran anak itu sesuai untuk pendidikan Institut Pendidikan Teknikal (ITE)?”
Semasa perbahasan COS kementeriannya, Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, telah mengumumkan bahawa bilangan mata pelajaran yang diperlukan untuk kemasukan ke JC akan diturunkan daripada enam kepada lima subjek.
Ini bermakna skor agregat kasar L1R5 yang diperlukan kini akan ditukar kepada L1R4 – satu subjek bahasa dan empat subjek relevan lain – dengan pelajar perlu mencapai skor agregat kasar L1R4 sebanyak 16 atau kurang.
Encik Chan berkata perubahan itu bertujuan “membuka lebih banyak masa dan ruang (bagi pelajar) membina kekuatan mereka dan membangun secara menyeluruh”.
“Pelajar dapat mengambil kurang mata pelajaran, atau mengambil beberapa mata pelajaran pada tahap yang kurang sukar.
“Oleh itu, mereka akan dapat menumpukan lebih banyak masa dan usaha untuk mendalami minat mereka, memperdalam kemahiran komunikasi dan kerjasama melalui kegiatan kokurikulum (CCA) dan menemui kekuatan baru melalui program sekolah,” kata beliau.
Ditanya sama ada perubahan yang diumumkan itu adalah berdasarkan maklum balas pelajar atau hala tuju dasar yang ingin diambil MOE, Dr Maliki berkata ia adalah gabungan kedua-dua perkara tersebut.
Terdapat kebimbangan yang semakin meningkat tentang kesejahteraan mental dalam kalangan pelajar dan salah satu sumber tekanan mereka adalah disebabkan pendidikan.
Oleh itu, bagi membantu meringankan tekanan ini, keputusan membuat perubahan tersebut diambil.
Selain itu, dari sudut pandangan dasar pula, MOE mahu menjadikan pengalaman pendidikan pelajar lebih holistik, dan bukan setakat dipenuhi dengan kandungan akademik sahaja.
“Kita juga perlu lihat pada masa hadapan. Masa depan adalah masa di mana anda memerlukan kecekapan teras melangkaui kandungan (akademik) sahaja... kemahiran hubungan sesama manusia, komunikasi, ketahanan, inovasi... semua perkara ini tidak boleh diajar. Pelajar perlu mengalaminya (untuk mempelajarinya),” ujar Dr Maliki.
Banyak perubahan dasar yang telah dibuat MOE untuk mengubah fokus pendidikan dan sekolah agar ia lebih bersifat holistik dan bukan sahaja tertumpu pada peperiksaan dan keputusan akademik sahaja.
Namun, adakah ibu bapa menerima perubahan sedemikian?
Adakah mereka yakin dengan apa yang cuba ditekankan MOE dan adakah cara pemikiran mereka berjaya diubah?
Menurut Dr Maliki, ia bergantung pada kohort ibu bapa berbeza, dan meskipun terdapat perubahan cara pemikiran, ia masih agak perlahan daripada yang diharapkan.
“Saya rasa (pemikiran) ibu bapa pelajar di sekolah menengah, belum lagi (dapat diubah), ibu bapa pelajar sekolah rendah, lebih baik sedikit.
“Saya katakan demikian berdasarkan pendekatan kami dengan ibu bapa pelajar sekolah rendah – mereka jauh lebih menerima perubahan. Saya fikir ini kerana mereka lebih muda,” kata beliau.
Ibu bapa yang lebih berusia pula seringkali membandingkan pengalaman mereka sendiri dengan apa yang dilalui anak-anak mereka sekarang.
Dalam fikiran mereka, anak mereka mesti capai ini dan itu kerana mereka sendiri tidak mencapai perkara tersebut, tambah Dr Maliki.
“’Mereka mungkin bertanggapan, ‘Saya tak dapat capai perkara itu dan lihat di mana saya berada sekarang, jadi apabila awak pun tak capai perkara itu, awak akan seperti saya dan saya tak nak awak seperti saya’.
“Tapi mereka lupa dunia sudah berubah, dunia di luar sana bagi anak mereka adalah berbeza berbanding dunia ketika mereka masih di sekolah.
“Namun, bagi ibu bapa lebih muda, mereka lebih dekat dengan perubahan yang sedang berlaku kerana mereka lihat sendiri tenaga kerja berubah dengan pesat, kini lebih dinamik.
“Saya agak optimistik... tetapi kita perlu melibatkan ibu bapa lebih matang untuk memastikan mereka juga menyedari apa yang kita cuba lakukan untuk anak-anak mereka dan kita melibatkan mereka bersama-sama dalam perjalanan memberikan bimbingan yang sangat diperlukan oleh anak itu,” kata Dr Maliki.
Ibu bapa juga boleh memainkan peranan aktif dalam perjalanan pendidikan anak mereka di IHL, lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai anak dengan keperluan pendidikan khas (SEN).
Semasa perbahasan COS MOE, diumumkan bahawa Program Latihan Amali dan Sokongan Kerjaya ITE-SG Enable (SGE) akan diperluas bagi menyokong lebih ramai pelajar ITE dengan SEN, sedang mereka beralih dari ITE ke alam pekerjaan.
Sekitar 100 pelajar sedemikian sudah melalui program itu. MOE mahu memperluaskan program tersebut untuk melibatkan sekitar 250 pelajar setiap tahun.
Dirintis pada pertengahan 2024, pelajar di bawah program itu menerima latihan dalam bidang seperti komunikasi di tempat kerja dan penyediaan resume, serta temu duga untuk menyediakan mereka menyertai tenaga kerja.
Pelajar yang terlibat kemudian akan diberi peluang latihan amali dan akan disokong jurulatih pekerjaan.
“Kami akan menambah sumber di ITE bagi memudahkan keupayaan mereka bekerja dengan majikan, dan melibatkan lebih ramai majikan, serta memastikan majikan juga memahami jenis pelajar SEN yang berbeza,” kata Dr Maliki.
Oleh kerana keperluan tugas rencam, ia perlu disesuaikan dengan pelajar SEN yang berlainan keperluan dan tatalakunya.
Oleh itu, adalah penting bagi ITE bekerja rapat dengan golongan majikan agar mereka dapat memahami keperluan pelajar yang berbeza.
Ibu bapa pelajar sedemikian juga mesti bekerjasama dengan ITE dan memahami skop tugas serta kemahiran yang diperlukan anak mereka semasa latihan amali itu.
“Di rumah, jika boleh, cuba tiru set kemahiran yang diperlukan itu. Barulah pengalaman anak tersebut akan lebih lancar,” tambah beliau lagi.
“
“Kami mahu ibu bapa memahami apa yang kami cuba lakukan. Ruang pendidikan lebih daripada sekadar mendapat ijazah, mendapat diploma, mendapat sijil. Ia lebih kepada anak anda membesar menjadi seseorang yang yakin, yang telah diperkasa dengan set kemahiran yang tepat untuk ke fasa seterusnya dalam hidupnya – bukan setakat belajar dan mendapatkan sijil, dan kemudian bertanya kepada diri sendiri, ke mana arah tuju saya sekarang, siapakah diri saya? Kami ingin menyampaikan mesej kepada pelajar dan ibu bapa bahawa pelajar mempunyai keupayaan untuk memutuskan apa yang mereka mahu serta minat mereka, dan kami mahu mereka gembira.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg