Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelajar mohon ke JC guna skor L1R4 mulai 2028

Perubahan akan jejas pelajar Menengah 2 sekarang, buka lebih banyak ruang bagi pelajar bina kekuatan
Mar 6, 2025 | 8:53 PM
Mulai 2028, pelajar yang mahu memasuki maktab rendah hanya perlu mengambil kira skor agregat kasar L1R4 dan bukan lagi L1R5.
Mulai 2028, pelajar yang mahu memasuki maktab rendah hanya perlu mengambil kira skor agregat kasar L1R4 dan bukan lagi L1R5. - Foto CMG

Bermula daripada latihan Pendaftaran Kemasukan Bersama (JAE) 2028, Kementerian Pendidikan (MOE) akan mengurangkan bilangan mata pelajaran yang diperlukan untuk kemasukan ke maktab rendah (JC) daripada enam kepada lima subjek.

Ini bermakna skor agregat kasar L1R5 yang diperlukan kini akan ditukar kepada L1R4 – satu subjek bahasa dan empat subjek relevan lain – dengan pelajar perlu mencapai skor agregat kasar L1R4 sebanyak 16 atau kurang.

Buat masa ini, pelajar yang ingin ke JC harus mendapat skor L1R5 sebanyak 20 atau kurang.

Mengumumkan perubahan tersebut semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Pendidikan (MOE) pada 6 Mac, Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, berkata ia bertujuan “membuka lebih banyak masa dan ruang (bagi pelajar) membina kekuatan mereka dan membangun secara menyeluruh”.

“Pelajar dapat mengambil kurang mata pelajaran, atau mengambil beberapa mata pelajaran pada tahap yang kurang sukar.

“Oleh itu, mereka akan dapat menumpukan lebih banyak masa dan usaha untuk mendalami minat mereka, memperdalam kemahiran komunikasi dan kerjasama melalui kegiatan kokurikulum (CCA) dan menemui kekuatan baru melalui program sekolah,” ujar Encik Chan.

Perubahan itu tidak bererti kelayakan untuk kemasukan JC dilonggarkan.

Keperluan subjek untuk memasuki JC tetap sama dan pelajar masih akan mempunyai asas yang diperlukan untuk JC, katanya.

Ini kerana di bawah sistem L1R4, pelajar masih perlu ambil kira subjek Bahasa Inggeris atau Bahasa Ibunda Lanjutan dan tiga subjek relevan termasuk satu subjek matematik atau sains dan satu subjek kemanusiaan, serta satu lagi subjek dengan skor terbaik.

Perubahan ini akan menjejas pelajar Menengah 2 sekarang.

Pelajar yang ingin memasuki Institut Millennia (MI) juga perlu mengikuti sistem L1R4 seperti pelajar JC lain, tetapi ambang kelayakan bagi MI akan kekal pada 20.

MOE berkata had mata bonus untuk kemasukan JC akan diturunkan daripada maksimum empat mata sekarang kepada tiga mata untuk mengambil kira pengurangan bilangan subjek yang termasuk dalam pengiraan agregat L1R4.

Had mata bonus untuk kemasukan ke MI juga akan diselaraskan dengan kemasukan JC.

Encik Chan berkata meskipun dengan adanya perubahan tersebut, kementeriannya tidak menjangka perubahan ketara dalam bilangan pelajar yang akan meneruskan pengajian ke JC.

“Berdasarkan simulasi kami, kami menjangkakan nisbah pelajar yang serupa akan terus layak untuk ke JC.

“Kami akan memantau hasil akademik mereka untuk memastikan pelajar mendapat manfaat daripada JC,” katanya.

Dari 2020 hingga 2024, perkadaran pelajar yang memasuki JC atau MI, daripada jumlah keseluruhan pelajar yang mendaftar ke institusi pascamenengah – termasuk Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan politeknik – kekal stabil pada 27 peratus, kata MOE.

Kadar pelajar yang memasuki politeknik kekal pada sekitar 43 peratus bagi tempoh yang sama.

Sepanjang lima tahun lalu, sekitar 42 peratus pelajar yang layak ke JC (tidak termasuk pelajar Program Bersepadu (IP)) pilih untuk memasuki politeknik. Perkadaran ini kekal stabil sepanjang lima tahun yang lalu.

“(Pelajar) akan dapat menumpukan lebih banyak masa dan usaha untuk mendalami minat mereka, memperdalam kemahiran komunikasi dan kerjasama melalui kegiatan kokurikulum (CCA) dan menemui kekuatan baru melalui program sekolah.”
Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg