Lima anggota Jawatankuasa Masyarakat Melayu nilai permohonan calon minoriti GRC
Lima anggota Jawatankuasa Masyarakat Melayu nilai permohonan calon minoriti GRC
Lima anggota Jawatankuasa Masyarakat Melayu nilai permohonan calon minoriti GRC
Calon Pilihan Raya Umum (GE) 2025 yang ingin bertanding sebagai calon minoriti dalam Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) memerlukan sijil yang relevan daripada Jawatankuasa Masyarakat Melayu atau Jawatankuasa Masyarakat India dan kaum minoriti lain.
Permohonan ini telah ditutup pada 19 April, jelas Jabatan Pilihan Raya (ELD) dalam satu kenyataan pada 15 April.
Dalam satu kenyataan media pada 21 April, ELD turut menyatakan ia telah mengeluarkan Sijil Jawatankuasa Masyarakat Melayu kepada 42 pemohon yang layak, manakala Sijil Jawatankuasa Masyarakat India dan kaum minoriti lain telah dikeluarkan bagi 37 pemohon yang layak.
Pada 20 April, ELD menyatakan bahawa pihaknya telah menerima 245 permohonan bagi sijil derma politik menjelang tarikh akhir pada 19 April.
Jawatankuasa Masyarakat Melayu dipimpin Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Mohamed Sa’at Abdul Rahman sebagai pengerusi jawatankuasa.
Ia dianggotai Profesor Madya Emeritus, Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Hadijah Rahmat; Zamil Kanan, Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Dr Mohamed Ali; Penasihat Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Rahayu Mohamad dan mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Zulkifli Baharudin.
Pada GE2025, terdapat 18 GRC dan 15 Kawasan Undi Perseorangan (SMC) yang dipertandingkan.
Jumlah ini melebihi 17 GRC dan 14 SMC yang terbentuk kini menyusuli GE2020.
Jumlah Anggota Parlimen (AP) juga telah dinaikkan daripada 93 kepada 97 orang.
Hari mengundi jatuh pada 3 Mei, dan merupakan cuti umum (PH).
Setiap majikan harus memberi pengundi masa secukupnya untuk mengundi pada hari tersebut, kata ELD.

