Orang ramai yang merancang percutian pada 2027 boleh menantikan lima hujung minggu panjang, bermula dengan sambutan Hari Tahun Baru yang jatuh pada hari Jumaat.

Sambutan Tahun Baru Cina pada 6 dan 7 Februari 2027, yang jatuh pada Sabtu dan Ahad, menjadikan hari Isnin berikutnya, 8 Februari, sebagai cuti umum.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam kenyataannya pada 18 Jun mengumumkan sejumlah 11 cuti umum yang diwartakan bagi 2027.

Hari Raya Aidilfitri bakal disambut pada hari Rabu, 10 Mac, manakala Good Friday pula jatuh pada 26 Mac.

Hari Pekerja dan Hari Krismas pula dijadualkan jatuh pada hari Sabtu.

Dua lagi cuti umum bakal jatuh pada hari Isnin, iaitu Hari Raya Aidiladha pada 17 Mei serta Hari Kebangsaan.

Sementara itu, Hari Vesak pada 20 Mei dan Deepavali pada 28 Oktober pula jatuh pada hari Khamis.

Di bawah peraturan Singapura, pekerja berhak menerima gaji penuh bagi kesemua 11 cuti umum tersebut.

Namun, majikan dan pekerja boleh mencapai persetujuan untuk menggantikan sesuatu cuti umum dengan hari bekerja yang lain.

Pekerja yang diarahkan bertugas pada cuti umum berhak menerima bayaran tambahan satu hari pada kadar gaji asas, di samping gaji kasar mereka bagi hari berkenaan.

Majikan juga mempunyai pilihan untuk memberikan cuti ganti kepada pekerja mengikut jumlah jam yang dipersetujui pada hari cuti umum.

Peraturan itu meliputi pekerja manual dengan gaji melebihi $4,500 sebulan serta pekerja bukan manual bergaji lebih $2,600 sebulan, termasuk golongan pengurus dan eksekutif.

Pekerja manual lazimnya merujuk kepada individu yang tugasnya melibatkan kerja fizikal atau buruh secara utama, menurut garis panduan sedia ada.

Laporan berkaitan