Pengesahan sempadan kawasan undi merupakan bahagian penting dalam persiapan Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) dan laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) mengandungi beberapa justifikasi ringkas bagi perubahan sempadan, kata Parti Pekerja (WP).
Dalam kenyataan yang dikeluarkan WP selepas laporan EBRC diterbitkan pada 11 Mac, parti pembangkang itu berkata antara justifikasi yang diberikan termasuk pertumbuhan penduduk di beberapa kawasan undi.
“Kami mendapati terdapat perubahan ketara di kawasan di mana WP telah mengusahakan secara berterusan sejak beberapa tahun lalu,” kata WP tanpa memperincikan kawasan tersebut.
WP turut menambah ia akan berkongsi maklumat lebih lanjut dengan orang ramai pada masa yang sesuai mengenai calon yang mungkin akan bertanding, serta kawasan tumpuan mereka, lapor The Straits Times (ST).
Dalam GE2025, tiga kawasan undi di Tampines West yang melibatkan 3,834 pengundi, akan dipindahkan dari Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Aljunied, yang diwakili WP, ke GRC Tampines, yang diwakili Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Tiada perubahan dibuat pada sempadan kawasan undi GRC Sengkang dan Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Hougang yang juga diwakili WP.
Parti Kemajuan Singapura (PSP) berkata EBRC kali ini telah “mendedahkan lebih banyak sebab di sebalik keputusan mereka”, berbanding laporan yang dikeluarkan EBRC pada 2020.
Namun, PSP menambah banyak keputusan EBRC masih tiada penjelasan, kerana perubahan populasi seharusnya boleh diuruskan tanpa membuat perubahan sempadan yang besar.
Seperti contoh, untuk mengurus perubahan populasi dek pembangunan estet Tengah, SMC Hong Kah North boleh digabungkan dengan SMC Yuhua dan Bukit Batok, bagi membentuk GRC baru, tanpa perlu mengubah sempadan kawasan undi lain seperti GRC Jurong, West Coast, Chua Chu Kang, Tanjong Pagar dan SMC Radin Mas.
PSP berkata ia akan meneliti laporan itu dan membuat pengumuman lanjut mengenai kawasan yang bakal dipertandingkan pada masa sesuai.
Pengasas dan pengerusi PSP, Dr Tan Cheng Bock, sebelum ini berkata parti itu menjangkakan sempadan GRC West Coast akan berubah untuk GE2025 dan beliau menambah, parti itu tetap akan bertanding bagi kawasan tersebut.
Parti Demokratik Singapura (SDP) berkata ia “jelas kecewa” dengan pembubaran SMC Yuhua dan Bukit Batok.
“Proses keseluruhan perubahan sempadan kawasan undi kurang ketelusan, dilakukan tanpa perbincangan terbuka antara pihak berkepentingan.
“Kami terpaksa berdepan dengan (perkara) ini sejak beberapa dekad lalu,” kata SDP dalam kenyataan pada 11 Mac.
SDP berkata ia tetap komited untuk memberi peluang kepada rakyat Singapura mengundi calon-calonnya bagi memastikan pemerintah dipertanggungjawabkan.
SDP akan meneliti perubahan sempadan dan membuat penyesuaian pada rancangan mereka.
“Walaupun isu perbandaran penting, rakyat Singapura di mana-mana sedang menderita akibat tekanan berkaitan dengan kenaikan kos sara hidup dan kegagalan pemerintah untuk mengambil tindakan bermakna, selain daripada hanya memberikan baucar secara berkala,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg