Lima taman bertema baharu seluas 1.2 hektar (atau kira-kira dua padang bola sepak) di Bukit Canberra telah dibuka oleh Lembaga Taman Negara (NParks) pada 2 Ogos.

Majlis pembukaan rasmi taman itu berlangsung sempena acara Hari Kebangsaan “Celebrate Singapore, Discover Cove” di hab masyarakat tersebut.

Selaras dengan visi ‘Bandar dalam Alam Semula Jadi’, taman itu memperluas kawasan hijau di kawasan itu untuk membawa alam semula jadi lebih dekat kepada masyarakat.

Kelima-lima taman bertema itu termasuk Taman Riadah Alam Semula Jadi (Nature Playgarden), Taman Herba dan Dapur (Herb and Kitchen Garden), Kebun Buah-Buahan (Fruit Orchard), Hutan Makanan (Food Forest) dan Taman Rendah (Sunken Garden).

Kesemua taman itu mempamerkan pelbagai spesies tumbuhan yang mempunyai kepentingan dari segi kulinari, pertanian dan riadah.

Ia juga mengetengahkan nilai ekonomi tumbuhan, khususnya tumbuhan yang digunakan dalam kehidupan harian seperti tumbuhan yang boleh dimakan dan pokok buah-buahan.

Bercakap dengan media, Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial merangkap Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, yang juga merupakan Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang, berkata lima taman itu mencerminkan pendekatan pembangunan yang tidak bersifat seragam dengan binaan kemudahan sahaja, sebaliknya, pembangunan itu memberi penghormatan kepada warisan dan alam semula jadi di kawasan Sembawang.

“Ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan Bukit Canberra sejak beberapa tahun lalu.

“Sejak awal lagi, kami membayangkan Bukit Canberra bukan sebagai sebuah bangunan besar, tetapi sebagai pembangunan yang menghormati warisan dan alam semula jadi Sembawang.

“Kawasan ini merupakan sebuah tapak yang mempunyai nilai sejarah yang amat penting dan, dari masa ke masa, telah berkembang menjadi sebuah hutan sekunder.

“Bukit Canberra juga tidak dibangunkan dengan bangunan-bangunan tinggi dan sebagai sebuah kompleks berskala besar yang bersifat seragam.

“Sebaliknya, pembangunan kemudahan dijalankan secara berperingkat, bermula dengan dewan sukan, pusat penjaja makanan, poliklinik, kolam renang, dan kini satu lagi pencapaian penting iaitu pembukaan taman di bahagian atas Bukit Canberra,” kata Encik Ong.

Acara pembukaan taman di Bukit Canberra itu turut diserikan dengan kehadiran AP GRC Sembawang yang lain termasuk Encik Gabriel Lam, Encik Ng Shi Xuan, Cik Mariam Jaafar dan Cik Poh Li san (Sembawang West).

Selain lima taman yang baru dibuka, Encik Ong turut berkongsi satu lagi pembangunan yang boleh dinantikan oleh penduduk di kawasan tersebut menjelang 2027.

Sebuah perpustakaan dan kafe bakal dibuka di bahagian atas Bukit Canberra House, berhampiran taman tersebut.

“Saya percaya kemudahan ini, apabila digabungkan, akan menjadikan tingkat dua Bukit Canberra sebagai sebuah destinasi yang menarik untuk dikunjungi,” tambah beliau.