Menteri Kesihatan dan Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Encik Ong Ye Kung, tampil menjelaskan isu yang dibangkit pengasas Makansutra, Encik KF Seetoh di laman Facebooknya, berhubung pengurusan Pusat Penjaja Bukit Canberra.
Encik Ong yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang berkata beliau prihatin terhadap dakwaan itu kerana pusat penjaja itu termasuk di dalam kawasan jagaannya.
Dalam catatan di Facebook pada 8 Ogos lalu, Encik KF Seetoh mendakwa penjaja di pusat tersebut dikenakan bayaran $70 sebulan untuk penggunaan bakul biru bagi menyimpan bekalan mereka.
Selain itu, menurutnya penjaja diwajibkan menyediakan 60 hidangan percuma setiap bulan di bawah inisiatif Pay-It-Forward tanpa subsidi daripada pihak pengendali.
Mengulas perkara itu, Encik Ong berkata dalam catatan Facebooknya pada 11 Ogos bahawa beliau mengambil maklum tentang catatan tersebut dan telah meneliti isu yang dibangkitkan.
“Saya ingin menjelaskan beberapa perkara,” katanya.
Menurut Encik Ong, dakwaan bayaran $70 yang dikenakan bagi bakul biru adalah tidak benar.
“Tidak ada amalan mengenakan bayaran untuk penggunaan bakul biru di belakang gerai,” katanya.
Menyentuh isu berhubung hidangan percuma untuk golongan memerlukan, Encik Ong menjelaskan bahawa ketika pusat penjaja itu dibuka, para peniaga bersetuju menyediakan 30 hidangan sebulan untuk penduduk berpendapatan rendah.
“Inisiatif ini berniat baik untuk menggalakkan penjaja mengamalkan Pay-It-Forward (inisiatif untuk menyumbang kembali kepada golongan memerlukan).
“Ia kemudian dipersetujui sesama peniaga untuk memberikan 100 hidangan sepanjang tempoh tiga tahun pajakan gerai mereka, dengan tiada penalti jika peniaga tidak dapat memenuhi sasaran tersebut,” jelas Encik Ong yang juga menambah bahawa inisiatif ini belum pun dimulakan.
Encik KF Seetoh dalam catatannya menyatakan bahawa walaupun ada penjaja yang rela membantu golongan memerlukan, beban kos tidak sepatutnya ditanggung sepenuhnya oleh mereka.
“Pada usia 60 tahun, kita patut tahu bagaimana cara untuk membantu mereka yang berpendapatan rendah, tanpa mengeksploitasi mereka yang bersusah-payah untuk menjual makanan yang dimampui,” kata jurugambar dan pengkritik makanan itu.
Encik Ong pula berkata pusat penjaja tersebut sejak dibuka telah menjadi tempat yang meriah, serta menjadi ruang penduduk menikmati makanan, bertemu jiran dan berinteraksi dalam suasana dikelilingi kehijauan.
“Saya kerap melawat dan melihat sendiri pertumbuhan pusat penjaja ini,” katanya.
Encik Ong berkata beliau menghargai semangat dan keprihatinan KF Seetoh dalam memelihara budaya penjaja, namun mengingatkan supaya perbincangan mengenai isu seperti ini dilakukan tanpa menyalahkan mana-mana pihak, sama ada pelanggan, penjaja, pengendali atau pemerintah.
“Apabila isu timbul, terdapat jalan untuk perbincangan dan penyelesaian. Semua pihak perlu bekerjasama demi mengekalkan budaya pusat penjaja kita,” ujar beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg