Penduduk Sembawang boleh menjangkakan transformasi estet mereka yang dahulunya dianggap sebagai kawasan ‘ulu’ untuk menjadi ruang komuniti yang meriah sambil mengekalkan ciri maritim mereka.
Salah satu ciri paling menonjol di tapak Limbungan Sembawang yang pernah memainkan peranan penting dalam perindustrian awal dan pertumbuhan industri maritim Singapura, ialah dok kering yang suatu ketika dahulu merupakan yang terbesar di dunia.
Daripada membiarkannya menjadi peninggalan sejarah semata-mata, pelbagai cadangan kreatif sedang dipertimbangkan.
Dok kering tersebut dapat diubah menjadi ruang masyarakat yang boleh digunakan untuk sukan, konsert atau plaza bagi keluarga berkumpul dan meluangkan masa bersama.
Namun, potensi kawasan tersebut tidak berhenti di situ.
Selain dok kering, kawasan lain Limbungan Sembawang tidak dilupakan.
Memanfaatkan saiz tanah yang besar, kira-kira tiga kali ganda saiz Pusat Bandar Ang Mo Kio, kediaman baru mungkin bakal dibina.
Kedudukannya di tepi laut membuka peluang untuk membina kediaman berkonsepkan kehidupan di persisiran yang unik.
Selain itu, ruang untuk makan dan membeli-belah dengan konsep baru, serta kawasan yang melibatkan masyarakat akan dibina.
Apabila semua digabungkan, Sembawang berpotensi menjadi destinasi persisiran yang meriah dan menarik di kawasan utara, penuh dengan nilai warisan. – KHAIRUL AKMAL ALI
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg