Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Limpahan air sisa di Bedok, Chai Chee ekoran paip pembetungan tersumbat

Aug 7, 2025 | 1:43 PM
Eunos, limpahan air sisa, PUB, Pritam Singh
PUB telah mengesan sumber limpahan air sisa pada dua lubang pembetung di tapak pembinaan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) yang berdekatan. - Foto PRITAM SINGH/FACEBOOK

Sebatang paip pembetungan yang tersumbat di tapak pembinaan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) telah menyebabkan air sisa melimpah di beberapa kawasan Bedok Reservoir Road dan Chai Chee pada 6 Ogos, kata agensi air negara, PUB.

Dalam satu hantaran di Facebook pada 7 Ogos, PUB berkata ia telah dimaklumkan mengenai kejadian limpahan air sisa pada pagi 6 Ogos di dua lokasi – kawasan sekitar Blok 619 dan 623 Bedok Reservoir Road, serta sebuah bangunan industri di 502 Chai Chee Lane.

PUB mengesan sumber limpahan itu pada dua lubang pembetung di tapak pembinaan BTO yang berdekatan, di mana sebahagian paip pembetungan yang terjejas didapati tersumbat dengan pasir dan simen, lapor The Straits Times (ST).

PUB menambah bahawa kerja-kerja sedang dijalankan untuk membersihkan sumbatan tersebut.

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) berkata mereka telah dimaklumkan mengenai isu tersebut pada 6 Ogos dan menambah bahawa kegiatan pembinaan di tapak BTO itu telah dihentikan sementara bagi memudahkan pemulihan perkhidmatan serta siasatan oleh PUB.

“Tiada kesan terhadap jadual pembinaan projek BTO itu setakat ini,” kata HDB.

Bagi membantu menyelesaikan masalah limpahan air itu, HDB menambah bahawa mereka bekerjasama dengan kontraktor BTO itu dan PUB untuk menyedut air dari paip pembetungan di kawasan tersebut menggunakan trak tangki tambahan, mengalihkan limpahan air ke lubang pembetung yang tidak terjejas, membersihkan jalan dan menguruskan lalu lintas di kawasan tersebut.

Limpahan air sisa di kawasan Bedok Reservoir Road mula ditonjolkan oleh pemimpin Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, dalam satu hantaran Facebook pada 6 Ogos.

Encik Pritam, yang merupakan Anggota Parlimen (AP) untuk GRC Aljunied, yang merangkumi kawasan Eunos, berkata Majlis Perbandaran Aljunied-Hougang telah memaklumkan kepadanya bahawa PUB sedang menyiasat perkara itu, dengan tumpuan kepada satu tapak pembinaan BTO di seberang Ekspreswe Rentas Pulau (PIE), di GRC East Coast. 

Tapak itu adalah sebahagian daripada projek Chai Chee Green.

Pada petang 6 Ogos, Encik Pritam berkata beliau melawat tapak pembinaan Chai Chee Green dan berbincang dengan pegawai PUB serta kakitangan daripada LS Construction, kontraktor utama projek itu.

Encik Pritam berkata pasukan-pasukan tersebut sedang bekerja untuk menyedut keluar bahan serpihan dan bekerjasama dengan HDB untuk mengalihkan air ke lurang yang tidak terjejas.

Beberapa pekerja pembinaan juga telah dikerah untuk membantu menguruskan lalu lintas di Eunos, tambahnya, dan beliau mengucapkan terima kasih kepada mereka atas usaha tersebut.

Apabila ST melawat kawasan Bedok Reservoir Road pada 10.40 pagi, 7 Ogos, masih terdapat air sisa yang melimpah dari bilik pemeriksaan dan sedikit bau busuk di situ.

Limpahan air sisa antara Blok 619 dan 623 di Bedok Reservoir Road pada 7 Ogos.
Limpahan air sisa antara Blok 619 dan 623 di Bedok Reservoir Road pada 7 Ogos. - Foto ST

Seorang penduduk, Cik Choon Poh Choo, 94 tahun, berkata bau itu tidak menghalangnya daripada menjalani rutin hariannya.

Majlis Perbandaran Aljunied-Hougang dan LS Construction telah dihubungi untuk maklumat lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg