Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rawat air sisa industri makin rumit disebabkan kemajuan pengilangan

Dec 17, 2024 | 5:21 PM
Seorang kakitangan memproses sampel dan melakukan ujian sisa di firma pengurusan sisa, Eco Special Waste Management yang terletak di Tuas.
Seorang kakitangan memproses sampel dan melakukan ujian sisa di firma pengurusan sisa, Eco Special Waste Management yang terletak di Tuas. - Foto ST

Kemajuan dalam pengilangan telah menyebabkan kerja merawat air sisa industri semakin rumit, namun rawatan betul bagi air tersebut amat penting bagi keselamatan air Singapura, yang kini turut diperkukuh oleh peraturan lebih ketat yang bakal diperkenalkan.

“Dahulu lebih mudah untuk merawat air sisa industri… aliran sisa kini telah berkembang dan menjadi lebih rumit kerana bahan yang digunakan semakin unik,” kata pengarah pembangunan perniagaan firma pengurusan sisa Eco Special Waste Management, Encik Larry Cheong.  

Contohnya, sisa industri kini mungkin mengandungi lebih banyak bahan kimia yang memerlukan rawatan lebih rumit untuk menghapuskannya.

“Air sisa dari kilang farmaseutikal mungkin mempunyai tahap pH berubah-ubah atau mengandungi pelbagai enap cemar atau dikenali sebagai sludge dan pelarut yang tidak dapat dielakkan,” kata Encik Cheong.

Pada 16 Disember, syarikat tersebut mengadakan satu demonstrasi kepada media mengenai beberapa amalan terbaik untuk memproses air sisa industri bagi memastikan ia selamat untuk dibuang, lapor akhbar The Straits Times.

Pembuangan bahan toksik dan berbahaya ke dalam saluran air kumbahan boleh mengganggu proses rawatan di loji pemulihgunaan air (WRP).

Contohnya, mikrob yang digunakan untuk merawat air terpakai di loji ini boleh mati disebabkan pembuangan bahan toksik.

Pembuangan bahan organik secara haram seperti benzena juga boleh membahayakan pekerja yang menyelenggara saluran kumbahan dan WRP.

Mereka mungkin dengan tidak sengaja tersedut asap toksik dan bahan mudah terbakar ini boleh menyebabkan kebakaran serta letupan.

Dengan pindaan kepada Akta Kumbahan dan Penyaliran, yang diluluskan pada 11 November, agensi air negara PUB akan mempunyai kuasa lebih besar dalam menangani syarikat yang melanggar undang-undang dan menjejas sistem kumbahan awam, menjejas usaha pemulihan air Singapura, atau membahayakan pekerja.

Denda minimum akan diperkenalkan dan denda maksimum akan dinaikkan.

Pesalah berulang juga akan dikenakan denda lebih tinggi.

Contohnya, sesebuah syarikat yang membuang bahan berbahaya tanpa kebenaran PUB yang menyebabkan kecederaan kepada pekerja dan kerosakan pada saluran kumbahan akan menghadapi denda minimum baru sebanyak $40,000.

Denda maksimum pula akan dinaikkan dua kali ganda daripada $200,000 kepada $400,000.

Dengan musim kemarau dijangka menjadi lebih kerap akibat perubahan iklim, usaha mengitar semula air di Singapura menjadi semakin penting dengan menekankan keperluan untuk melindungi kualiti air terpakai, kata Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Dr Amy Khor, pada November di Parlimen.

Singapura mengimport air, di samping mengumpul air hujan di beberapa kolam air di sini.

AirBaru menjadi ‘paip negara’ Singapura yang ketiga.

Air terpakai dari industri dan isi rumah disalurkan oleh sistem kumbahan awam ke WRP, yang merawat air terpakai sebelum sebahagiannya dihantar ke kilang AirBaru untuk menghasilkan air yang dikitar semula.

Antara 2017 dengan 2023, PUB mendakwa 90 pesalah bagi 295 kesalahan berkaitan pembuangan sisa cecair dan kumbahan dari kilang yang mengalir keluar ke sungai atau laut. 

Sekitar 70 peratus daripada mereka yang didakwa setiap tahun adalah pesalah berulang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg