Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Stesen pam terkini perkukuh perlindungan banjir di Jalan Besar

Stesen Pam Syed Alwi mampu tampung 9,300 meter padu air hujan atau seperti kapasiti empat kolam renang saiz Olimpik
Jun 23, 2025 | 1:45 PM
Stesen Pam Syed Alwi, banjir
Stesen Pam Syed Alwi akan memperkukuhkan sistem perlindungan banjir di Jalan Besar, yang merupakan kawasan tanah rendah, selain di Little India.  - Foto ST

Stesen Pam Syed Alwi (Saps) – yang mampu menampung sekitar 9,300 meter padu air hujan, bersamaan dengan jumlah kapasiti empat kolam renang saiz Olimpik – telah siap dibina di Jalan Besar.

Ia akan memperkukuh sistem perlindungan banjir di Jalan Besar, yang merupakan kawasan tanah rendah, serta di Little India.

Terletak bersebelahan longkang besar Rochor di sepanjang Syed Alwi Road, stesen pam yang dibina oleh agensi air negara, PUB, itu menjadi perlindungan tambahan terkini bagi mengurangkan risiko banjir yang pernah kerap berlaku di kawasan tersebut antara 2000-an dengan 2010-an.

Sejak banjir teruk melanda Jalan Besar pada 13 November 2014, PUB telah melaksanakan beberapa usaha mengatasi banjir termasuk meningkatkan sistem perparitan di sepanjang Syed Alwi Road serta meluaskan kapasiti terusan Rochor.

Longkang besar Rochor telah diluaskan sejak banjir melanda kawasan itu pada 2014.
Longkang besar Rochor telah diluaskan sejak banjir melanda kawasan itu pada 2014. - Foto fail

Menyingkap keadaan banjir teruk yang pernah melanda pada November 2014 itu kepada Berita Harian (BH), Jurutera Kanan PUB yang juga pegawai projek utama bagi pembinaan Saps, Encik Riduan Abdul Hussein, berkata:

“Ketika itu, air di terusan Rochor naik dan melimpah masuk semula ke dalam longkang-longkang.

“Pada masa yang sama, hujan juga sangat lebat jadi air hujan tidak dapat mengalir keluar kerana longkang dipenuhi dengan air dari terusan.”

Stesen Pam Syed Alwi direka untuk mengalirkan air ribut dari bahagian hulu longkang besar Rochor ke dalam sebuah tangki bawah tanah.

Air tersebut kemudiannya dipam keluar dari tangki – yang mampu menampung sekitar 9,300 meter padu air hujan – ke bahagian hilir longkang besar Rochor ketika dan selepas hujan lebat.

Ini bagi memastikan longkang, yang mengumpulkan air hujan dari kawasan Jalan Besar, tidak melimpah semasa hujan lebat apabila paras air di dalam longkang tinggi.

Dalam satu kenyataan PUB pada 23 Jun, ia berkata pembinaan Saps merupakan sebahagian daripada prasarana pengurusan air ribut yang pelbagai oleh PUB untuk memperkukuh daya tahan Singapura terhadap banjir, memandangkan perubahan iklim menyebabkan hujan turun dengan lebih kerap dan lebat.

Stesen pam automatik sepenuhnya itu dilengkapi dengan pintu air di longkang Syed Alwi Road yang akan ditutup bagi menghalang aliran semula air dari longkang besar Rochor ke kawasan Jalan Besar.

Pam yang akan mengeluarkan air dari tangki bawah tanah ke bahagian hilir longkang besar Rochor ketika dan selepas hujan lebat.
Pam yang akan mengeluarkan air dari tangki bawah tanah ke bahagian hilir longkang besar Rochor ketika dan selepas hujan lebat. - Foto ST

Encik Riduan menambah, pembinaannya turut melindungi bangunan warisan sekitar, dengan menjadi penyelesaian alternatif untuk meningkatkan daya tahan terhadap banjir tanpa melakukan kerja-kerja pembangunan semula bagi meninggikan paras tanah.

Ini termasuk Masjid Angullia dan rumah kedai di 75 Maude Road.

Menurutnya, pembinaan Saps bermula pada 2021 dan selesai pada Jun 2025 dan terdapat dua pam lain di situ.

“Pendekatan ini turut digunakan di Estet Tanjong Katong yang turut berada di kawasan rendah, di mana kami membina Stesen Pam Poole Road dan Wimborne Road (yang dibina pada 1990-an),” ujarnya.

Air akan berkumpul di dalam tangki bawah tanah yang setinggi 11 meter dan mempunyai kapasiti bersamaan dengan empat kolam renang saiz Olimpik, iaitu mampu menampung kira-kira 9,300 meter padu air.
Air akan berkumpul di dalam tangki bawah tanah yang setinggi 11 meter dan mempunyai kapasiti bersamaan dengan empat kolam renang saiz Olimpik, iaitu mampu menampung kira-kira 9,300 meter padu air. - Foto ZAOBAO
Apabila paras air dalam tangki mencapai 4.5 meter, pam akan diaktifkan secara automatik untuk mengalirkan air ke longkang besar Rochor melalui dua saluran keluar di longkang besar Rochor. Apabila paras air berada di bawah empat meter, air akan disalirkan ke longkang besar menggunakan dua pam lain yang lebih kecil.
Apabila paras air dalam tangki mencapai 4.5 meter, pam akan diaktifkan secara automatik untuk mengalirkan air ke longkang besar Rochor melalui dua saluran keluar di longkang besar Rochor. Apabila paras air berada di bawah empat meter, air akan disalirkan ke longkang besar menggunakan dua pam lain yang lebih kecil. - Foto ST

Sementara itu di permukaan, kemudahan pengurusan stesen pam ditempatkan dalam sebuah bangunan yang padat dan ringkas.

Kawasan bersebelahannya juga sedang dibangunkan menjadi sebuah plaza terbuka yang akan menyediakan ruang masyarakat, dan disepadukan dengan projek Bina Ikut Tempahan (BTO) berdekatan, King George’s Heights, yang kini dalam pembinaan.

Saps juga direka untuk menyepadukan ciri-ciri kehijauan, seperti bumbung dan dinding hijau.

Plaza terbuka yang akan menyediakan ruang masyarakat bersebelahan Stesen Pam Syed Alwi (Saps).
Plaza terbuka yang akan menyediakan ruang masyarakat bersebelahan Stesen Pam Syed Alwi (Saps). - Foto ZAOBAO
Stesen Pam Syed Alwi (Saps) juga direka untuk menyepadukan ciri-ciri kehijauan, seperti bumbung dan dinding hijau.
Stesen Pam Syed Alwi (Saps) juga direka untuk menyepadukan ciri-ciri kehijauan, seperti bumbung dan dinding hijau. - Foto ZAOBAO

Sebelum ini, PUB telah melaksanakan beberapa usaha dalam menangani keadaan banjir di kawasan tersebut.

Antaranya, menaik taraf sistem perparitan di sepanjang Syed Alwi Road dan meninggikan paras jalan raya bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan itu pada 2014.

Ini disusuli dengan kerja peluasan dan usaha mendalamkan longkang besar Rochor pada 2015 untuk meningkatkan keupayaan salurannya.

Usaha itu turut memperkukuh perlindungan banjir di kawasan berdekatan seperti di Veerasamy Road, Hindoo Road dan Desker Road.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg