Orang ramai yang ingin mengunjungi Little India boleh menjangkakan kesesakan pengunjung sempena sambutan Deepavali, terutama pada malam perayaan iaitu 19 Oktober, kata polis.
Dalam satu makluman yang dikeluarkan pada 17 Oktober, polis berkata kesesakan trafik dan pengunjung dijangkakan di sepanjang Serangoon Road sepanjang tempoh itu, justeru pemandu dinasihatkan agar menggunakan laluan alternatif.
Bagi menguruskan orang ramai dan trafik, lintasan pejalan kaki di Birch Road, di depan Masjid Angullia, akan ditutup dari 4 petang pada 19 Oktober hingga 4 pagi pada 20 Oktober.
Lintasan pejalan kaki terdekat yang boleh digunakan terletak berhampiran Kitchener Link atau berhampiran Baboo Lane.
Menurut polis, jika terdapat keperluan, lintasan pejalan kaki di Campbell Lane juga mungkin ditutup.
Ia menambah bahawa lintasan berhampiran Sungei Road atau Dunlop Street akan menjadi laluan alternatif terdekat bagi pejalan kaki.
Papan tanda akan dipasang sebagai panduan bagi pejalan kaki, dan pegawai polis tambahan juga akan ditempatkan bagi menghulurkan bantuan, lapor The Straits Times (ST).
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan menjaga barangan peribadi mereka.
Polis turut mengingatkan orang ramai bahawa meminum minuman keras di tempat awam tidak dibenarkan di Little India dan Geylang dari 10.30 malam pada 17 Oktober hingga 7 pagi pada 21 Oktober.
Ini kerana lokasi tersebut merupakan Zon Kawalan Minuman Keras.
Mereka yang didapati melanggar peraturan itu berdepan hukuman lebih berat, dengan pesalah berulang boleh dikenakan denda sehingga $3,000, hukuman penjara sehingga empat bulan setengah, atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, lesen mereka yang menjual minuman keras selepas waktu yang dibenarkan mungkin dibatalkan.
Polis turut memberi amaran terhadap pemilikan, pengimportan dan penggunaan bunga api secara haram, yang diklasifikasikan sebagai bahan letupan.
Kesalahan berkaitan boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga $50,000 bagi individu, atau $100,000 bagi entiti.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg