Bilangan kemalangan serius yang melibatkan bas awam telah meningkat pada 2025 berbanding dua tahun sebelumnya, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) pada 12 Jun, jurucakap LTA berkata bilangan kemalangan sedemikian telah naik sebanyak 26.5 peratus kepada 234 pada 2025, berbanding 185 pada 2024.

Angka ini juga lebih tinggi daripada 200 kemalangan yang direkodkan pada 2023.

Perkadaran kemalangan yang melibatkan bas awam di mana kapten bas didapati bersalah juga telah meningkat sebanyak 19 peratus, daripada 93 pada 2024, kepada 111 pada 2025.

Angka ini juga lebih tinggi daripada 99 kes yang direkodkan pada 2023, kata LTA, sambil menyatakan bahawa ia “tidak melihat lonjakan dalam bilangan insiden sejak beberapa bulan kebelakangan ini”.

“Perubahan dalam jumlah keseluruhan kemalangan jalan raya yang melibatkan bas awam harus dilihat dalam konteks rangkaian bas yang semakin berkembang, di mana terdapat lebih banyak bas dan perkhidmatan yang beroperasi di jalan raya, jarak tempuh yang lebih jauh yang dilalui oleh bas, dan jumlah trafik yang lebih tinggi,” kata LTA.

Respons daripada LTA ini datang berikutan beberapa kes kemalangan bas awam yang melibatkan pejalan kaki dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Pada masa ini terdapat empat pengendali bas awam – Go Ahead Singapore, SBS Transit, SMRT Buses dan Tower Transit Singapore.

Pada 27 Mei, seorang penumpang bas telah dibawa ke hospital menyusuli satu kemalangan yang melibatkan sebuah awam Tower Transit dengan sebuah bas privet lain di Sembawang.

Pada 18 April, sebuah bas dua tingkat SBS Transit yang dipandu oleh seorang pemandu bas lelaki berusia 71 tahun telah merempuh pembahagi jalan dan melanggar sebuah kereta di seberang jalan di Pasir Ris.

Pada 27 Mac pula, seorang penumpang bas telah dibawa ke hospital selepas kemalangan yang melibatkan sebuah bas dan sebuah trak besar di Lornie Road.

Pada bulan yang sama, seorang pemandu bas SBS Transit lelaki berusia 74 tahun terperangkap di tempat duduk pemandu selepas bas yang dipandunya merempuh bahagian belakang sebuah lori di Upper East Coast Road.

Sebagai respons kepada soalan BH, LTA berkata terdapat 51 kemalangan serius yang melibatkan bas awam dalam tempoh tiga bulan pertama 2026.

Dalam bilangan ini, kira-kira separuh atau 25 adalah kes di mana kapten bas didapati bersalah.

“LTA bekerjasama rapat dengan pengendali pengangkutan awam untuk meningkatkan keselamatan bas.

“Kapten bas menjalani latihan intensif sebelum mengendalikan perkhidmatan bas awam, termasuk latihan bilik darjah dan praktikal, pengenalan laluan dan penilaian.

“Pengendali pengangkutan awam dan Akademi Bas Singapura juga menjalankan latihan ulangkaji secara berkala dan taklimat keselamatan untuk kapten bas,” kata LTA.

Semasa sidang Parlimen pada 5 Mei, Anggota Parlimen (AP) Cik Valerie Lee (GRC Pasir Ris-Changi) telah bertanya tentang bilangan kemalangan lalu lintas yang melibatkan kapten bas awam, mengikut kumpulan umur.

Dalam jawapan bertulisnya, Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow berkata sejak 2023, terdapat purata 51 kemalangan teruk setiap tahun yang disebabkan oleh kapten bas berumur 50 tahun dan ke bawah.

Sebanyak 27 kemalangan disebabkan oleh kapten bas berumur antara 51 dengan 60 tahun, 20 disebabkan oleh kapten bas berumur antara 61 dengan 70 tahun, dan tiga disebabkan oleh kapten bas berumur 71 tahun dan ke atas.

“Berdasarkan bilangan kapten bas dalam setiap kumpulan usia, kapten bas berumur 61 tahun dan ke atas lebih cenderung terlibat dalam kemalangan teruk, walaupun perbezaannya agak kecil secara mutlak,” kata Encik Siow.

Beliau menekankan bahawa penilaian perubatan diperlukan untuk kapten bas berumur 50 tahun dan ke atas semasa pembaharuan lesen vokasional mereka, bagi memastikan mereka sihat dari segi perubatan untuk memandu.

LTA berkata latihan keselamatan untuk kapten bas telah dipertingkatkan selaras dengan cadangan Pasukan Petugas Tiga Pihak Keselamatan Bas pada Mac 2025.

Ia juga telah bekerjasama dengan pengendali bas untuk melaksanakan cadangan lain yang disarankan oleh pasukan petugas itu secara progresif.

Ini termasuk sistem dan alatan teknologi tambahan untuk meningkatkan kesedaran situasi kapten bas di jalan raya, dan penambahbaikan kepada keadaan kerja seperti waktu rehat yang dilindungi, dan mengurangkan laluan dengan masa pemanduan yang panjang.

LTA menambah bahawa kapten bas yang mengalami kemalangan dikehendaki menjalani latihan ulangkaji secara wajib.

“Tindakan penguatkuasaan diambil terhadap mereka yang didapati melanggar peraturan lalu lintas, termasuk pemberian mata demerit dan penggantungan lesen vokasional dalam kes yang lebih berat.

“LTA akan terus bekerjasama rapat dengan pengendali pengangkutan awam untuk memperkukuh piawaian keselamatan dan memastikan perjalanan yang selamat untuk penumpang dan semua pengguna jalan raya,” tambahnya.

Ketika ditanya tentang siapa yang bertanggungjawab untuk menguruskan dan membiayai kos selepas terjadinya kemalangan yang melibatkan bas awam, LTA berkata tanggungjawab itu terletak pada pengendali bas.

Ia berkata di bawah model kontrak bas, LTA memperoleh dan memiliki semua aset bas, manakala pengendali bas awam bertanggungjawab untuk menyelenggara bas.

“Pengendali bas awam bertanggungjawab untuk menyelenggara bas termasuk menjalankan pembaikan selepas kemalangan.

“LTA menetapkan piawaian penyelenggaraan, keselamatan dan operasi yang perlu dipenuhi oleh pengendali bas di bawah lesen dan kontrak mereka.

“Pengendali bas yang gagal mematuhi peraturan boleh dikenakan penalti kewangan atau tindakan kawal selia lain oleh LTA,” tambahnya.

Menurut statistik tahunan yang dikeluarkan pada Februari oleh Polis Trafik, jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya telah mencapai paras tertinggi dalam tempoh 10 tahun pada 2025, dengan 149 orang terbunuh, berbanding 142 pada 2024 dan 136 pada 2023.

Bilangan kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kematian pada 2025 juga telah naik – daripada 139 pada 2024 dan 131 pada 2023 – kepada 147 pada 2025.

Bilangan orang yang cedera dalam kemalangan juga telah meningkat – daripada 9,342 pada 2024 dan 8,941 pada 2023 – kepada 9,955 pada 2025.