Pemandu kereta yang menuju ke Malaysia melalui Pusat Pemeriksaan Tuas mungkin berdepan penutupan lorong buat sementara waktu mulai 1 September, apabila kerja pemasangan sistem kelulusan sempadan automatik baharu bermula. 

Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) berkata dalam satu hantaran Facebook pada 26 Ogos bahawa kerja pembinaan dijangka berlangsung sehingga akhir 2027.

Sepanjang tempoh itu, sebahagian zon kereta yang menuju ke Malaysia akan ditutup sementara secara berperingkat.

Kerja pembinaan yang dirancang itu melibatkan pengalihan kaunter kereta sedia ada yang dikendalikan oleh pegawai ICA, yang akan digantikan dengan lorong Sistem Pelepasan Penumpang Automatik (APCS).

APCS akan membolehkan pemandu dan penumpang yang menaiki kereta melengkapkan proses kelulusan imigresen mereka tanpa perlu keluar daripada kenderaan, dengan menggunakan kod respons pantas (QR) bersama pengesahan biometrik.

ICA menyatakan pihaknya telah memasang papan tanda jalan, penanda keselamatan jalan raya dan pagar sempadan bagi membantu pengembara melalui kawasan lorong dan zon yang terjejas dengan selamat. 

Pengembara dinasihatkan supaya menyemak keadaan trafik di pusat pemeriksaan darat sebelum memulakan perjalanan mereka, serta mematuhi disiplin lorong dan peraturan lalu lintas.

Mereka juga digalakkan menggunakan kod QR bagi kelulusan yang lebih pantas di pusat pemeriksaan darat, kata ICA.

“ICA memohon kesabaran dan pemahaman orang ramai semasa kerja pembinaan dijalankan,” tambahnya.

Menteri Kanan, Encik K. Shanmugam, telah mengumumkan pada 8 Mei bahawa konsep kelulusan automatik ICA akan diperluas kepada semua kenderaan di pusat pemeriksaan darat.

Ia mula diperkenalkan di Lapangan Terbang Changi pada 2024.

Hampir 127 juta pengembara pada 2025 melalui proses kelulusan imigresen di Singapura tanpa perlu mengemukakan pasport mereka.

Singapura ialah negara pertama di dunia yang mempunyai lorong automatik di pusat pemeriksaan penumpang yang membenarkan kelulusan secara berkumpulan, kata Encik Shanmugam, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri.

ICA sebelum ini berkata lorong APCS bagi kereta akan dilaksanakan secara berperingkat di Pusat Pemeriksaan Tuas mulai awal 2027, sebelum dilanjutkan ke Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Lorong tersebut juga boleh diubah suai untuk melancarkan kelulusan sehingga dua motosikal pada satu-satu masa, bergantung kepada keadaan trafik dan keperluan operasi.