Menteri Negara Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling, dan syarikat pelaburan Temasek telah memberi amaran kepada orang ramai mengenai satu penipuan pelaburan yang tersebar dalam talian.
Mereka menarik perhatian kepada gambar Cik Low yang telah diubah suai dan dipalsukan, serta dikaitkan kepada sebuah aplikasi palsu dan satu kumpulan di aplikasi sembang WeChat yang digunakan untuk mempromosikan produk pengurusan kekayaan di China.
Dalam gambar yang telah diubah suai itu, Cik Low dilihat menghadiri satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara dua pertubuhan palsu, iaitu sebuah dewan dagangan China dan sebuah syarikat pengurusan aset yang dinamakan Taibai.
Dalam satu catatan di Facebook pada 12 Mei, Cik Low berkata gambar tersebut telah disalah guna dalam sebuah aplikasi di China yang juga dinamakan Taibai serta dalam satu kumpulan WeChat, bagi tujuan menjual produk pelaburan.
Aplikasi tersebut didapati menyamar sebagai sebuah anak syarikat Temasek, manakala maklumat mengenai pelaburan palsu itu turut diedarkan menerusi kumpulan sembang WeChat yang dikenali sebagai Jing Shang Hui, menurut syarikat pelaburan Singapura Temasek pada 12 Mei.
Menurut laporan The Straits Times, nama kumpulan perbincangan itu dalam bahasa Cina boleh diterjemahkan sebagai “Dewan perdagangan Beijing”.
Temasek berkata Taibai Investments merupakan salah satu anak syarikat miliknya sepenuhnya, tetapi menafikan sebarang kaitan dengan aplikasi Taibai atau kumpulan sembang Jing Shang Hui.
Temasek dan Taibai Investments tidak menjual atau memasarkan produk pelaburan di China dan tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak ketiga untuk berbuat demikian, kata syarikat itu.
Cik Low menyatakan bahawa gambar sebenarnya diambil semasa Persidangan Perkongsian Ekonomi Singapura-China pada 1 Februari 2024.
Beliau turut berkongsi gambar sebenar dan yang telah diubah suai.
Ketika itu, tiga MOU telah ditandatangani antara Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) dan Majlis China bagi Promosi Perdagangan Antarabangsa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg