Sekitar 8.1 juta perjalanan bas dan kereta api dibuat secara purata dari Selasa hingga Khamis pada Januari hingga Ogos 2024 – 1.5 peratus lebih tinggi daripada 7.98 juta perjalanan pada Isnin dan Jumaat.
Ini berbanding tempoh lapan bulan pertama 2019 sebelum wabak Covid-19 melanda, dengan purata penumpang pengangkutan awam harian dari Selasa hingga Khamis adalah 8.3 juta, lebih rendah daripada 8.4 juta pada Isnin dan Jumaat.
Demikian menurut perangkaan penumpang terkini yang dikeluarkan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Purata penumpang pengangkutan awam harian (Januari hingga Ogos 2024) yang menaiki bas dan kereta api semasa waktu sibuk sebelah pagi pada Jumaat adalah 87 peratus daripada purata penumpang pada Rabu.
Ini berbanding 97 peratus bagi tempoh yang sama bagi 2019, tambah LTA.
Menurut LTA, bilangan perjalanan pengangkutan awam ke Kawasan Pusat Bandar (CBD) – termasuk Raffles Place, Tanjong Pagar, Shenton Way, City Hall, Bugis, Marina Centre dan Nicoll Highway – pada waktu pagi hari bekerja dari Januari hingga Ogos adalah sekitar 86 peratus sahaja berbanding tempoh yang sama pada 2019.
Pakar-pakar sumber manusia dan perniagaan berkongsi kepada bahawa perangkaan itu mencerminkan peningkatan terhadap pengaturan kerja hibrid yang telah dilaksanakan oleh banyak syarikat di sini, menurut laporan The Straits Times (ST).
Ketua rakan kongsi perniagaan sumber manusia serantau Asia-Pasifik di salah satu firma teknologi, Encik Raunak Bhandari, berkata banyak syarikat telah menerima pakai amalan kerja hibrid.
Ini kerana syarikat sedemikian menyedari bahawa dengan memberi kelonggaran kepada pekerja untuk memilih hari mereka kembali ke pejabat berdasarkan keperluan peribadi dan pasukan, ia menyumbang kepada keseimbangan pekerjaan dan kehidupan, tambah beliau.
Menurutnya, pekerja lebih suka bekerja di luar pejabat pada Isnin dan Jumaat kerana mereka boleh merancang tugasan bagi minggu hadapan, selain menyelesaikan kerja yang ada pada Jumaat.
Penyelaras sumber, Cik Uma Shangari, berkata kepada ST bahawa beliau lebih suka bekerja dari rumah pada Isnin dan Jumaat, yang beliau sifatkan sebagai “hari untuk berikan penumpuan”.
“Secara amnya, aktiviti seperti pertemuan bersemuka (pada Isnin dan Jumaat) adalah lebih rendah (berbanding hari-hari lain), dan mesyuarat boleh dilakukan melalui Microsoft Teams,” katanya.
Tetapi beliau menambah bahawa jika terdapat rakan sekerja penting yang melawat pejabat, beliau akan membuat perancangan untuk turut masuk pejabat.
Perekrut kanan dalam industri teknologi, Cik Thilagamani Manoharan, berkongsi bahawa beliau mendapati dirinya “lebih fokus dan produktif” di rumah, manakala beliau seringkali tidak dapat tumpukan perhatian di pejabat.
Walaupun beliau tidak perlu pergi ke pejabat sama sekali, Cik Thilagamani, 32 tahun, berkata beliau “membiasakan diri untuk pergi (ke pejabat) pada Selasa dan Khamis kerana ada mesyuarat kepimpinan pada hari-hari tersebut”.
Beliau berkata: “Saya mahu mengadakan perbincangan secara bersemuka dengan pemimpin di pejabat”.
Cendekiawan di divisyen kepimpinan, pengurusan dan organisasi di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Profesor Madya Trevor Yu, bersetuju pekerja memilih untuk menamatkan minggu mereka dengan bekerja dari rumah kerana idea hujung minggu yang panjang adalah menarik bagi sesetengah individu.
Mulai 1 Disember, semua majikan di Singapura dikehendaki oleh undang-undang untuk mempertimbangkan secara adil permintaan kerja yang fleksibel.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg