Bas mini dan kenderaan logistik pandu sendiri mungkin mula beroperasi di jalan raya Singapura tidak lama lagi, berikutan langkah negara ini memperluaskan penggunaan teknologi kenderaan autonomi (AV) di jalan raya.
Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, berkata pihak berkuasa akan memberi tumpuan kepada dua jenis kenderaan itu dalam waktu terdekat, kerana ia boleh digunakan dalam bilangan yang besar sepanjang laluan tetap, dan teknologi sebegitu sudah digunakan secara komersial di luar negara.
“Risiko penggunaannya boleh diuruskan dengan lebih teliti melalui kelajuan lebih rendah kenderaan dan waktu penggunaan,” kata Encik Chee.
“Tidak kurang penting, penggunaan kenderaan ini juga dapat membantu mengatasi cabaran kekurangan tenaga kerja dalam sektor logistik dan pengangkutan awam, yang menyaksikan pengendali menghadapi kesukaran mendapatkan pemandu,” tambah beliau.
Encik Chee berkata demikian semasa berucap di perasmian Kongres dan Pameran Pengangkutan Antarabangsa Singapura, yang dihadiri lebih 5,000 karyawan pengangkutan, pada 6 November.
Buat masa ini, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah meluluskan dua jenis kenderaan pandu sendiri yang juga mempunyai rekod prestasi baik di luar negara, lapor The Straits Times.
Pertama, penyapu-robo elektrik (electric robo-sweepers) yang digunakan Chye Thiam Maintenance di Airline Road dan Marina Coastal Drive, dan kedua, kenderaan logistik elektrik yang digunakan FairPrice Group bagi pemindahan barangan antara pusat pengedarannya di Benoi dan Joo Koon.
Encik Chee menambah bahawa LTA akan juga membeli bas mini autonomi dan melaksanakan penggunaannya dengan kerjasama pengendali bas awam – bermula dengan laluan bas yang “kurang mencabar dari segi teknikal” dahulu.
“Bas mini ini juga akan mempunyai seorang pemandu di dalamnya bagi memastikan keselamatan, dan keandalannya akan dipantau pada peringkat awal, sebelum kami beralih menggunakan operator keselamatan jarak jauh yang mengawal kenderaan itu dari jauh,” kata Encik Chee.
Butiran lanjut mengenai bas mini itu akan diperincikan LTA pada masa akan datang.
Encik Chee berkata walaupun Singapura mula melancarkan AV pada 2015, kemajuannya lebih perlahan daripada yang dijangka dan jauh ketinggalan berbanding negara seperti China dan Amerika Syarikat.
Menyedari hasrat pihak berkuasa mempercepatkan langkah itu, Encik Chee berkata adalah penting memastikan keselamatan di persekitaran bandar Singapura yang padat, serta kesediaan setiap bahagian ekosistem AV.
Dengan itu, LTA telah membangunkan rangka kerja ujian baru untuk menilai teknologi AV dalam litar terkawal sebelum menggunakannya pada laluan jalan raya sebenar.
“Sebelum sembarang AV digunakan di jalan raya, ia akan diprogram, diuji, dan menjalani percubaan dengan teliti untuk meminimumkan risiko. Namun, sama seperti pemandu manusia, kita perlu bersedia secara mental bahawa akan ada kemalangan melibatkan AV,” kata Encik Chee.
Apabila ia berlaku, Encik Chee berkata pihak berkuasa akan menyiasat dan mengkaji data sebelum membuat penilaian sama ada AV itu selamat untuk beroperasi.
Beliau menambah bahawa jika enggan menerima sebarang risiko, tahap kemajuan Singapura akan jauh ketinggalan berbanding bandar lain.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg