LTA anugerah dua kontrak nilai $735j bagi lanjutan Laluan Downtown

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

LTA anugerah dua kontrak nilai $735j bagi lanjutan Laluan Downtown

Kerja pembinaan bagi dua stesen baru akan mula suku kedua 2026
Feb 19, 2026 | 6:36 PM

LTA anugerah dua kontrak nilai $735j bagi lanjutan Laluan Downtown

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
LTA, laluan downtown
Lakaran artis bagi stesen pertukaran NS6/DE2 di Laluan Downtown 2 (DTL2e). - Foto LTA

Dalam kenyataan pada 19 Februari, LTA menyatakan kontrak pertama, bagi reka bentuk dan pembinaan stesen bawah tanah DE1, di sepanjang Sungei Kadut Avenue, telah dimenangi oleh syarikat Woh Hup Engineering Pte Ltd dengan nilai sekitar $285 juta.

Kontrak kedua, bagi reka bentuk dan pembinaan stesen pertukaran NS6/DE2 di laluan DTL2e, dianugerahkan kepada usaha sama antara Samwoh Corporation Pte Ltd dengan China Communications Construction Company Limited (Cawangan Singapura).

Kontrak bernilai sekitar $450 juta itu merangkumi pembinaan stesen DE2 bawah tanah di Laluan Downtown (DTL) serta stesen NS6 atas tanah yang bersambung, terletak di antara stesen Yew Tee dengan stesen Kranji di Laluan Utara-Selatan (NSL).

LTA menjangkakan kerja pembinaan bagi stesen DE1 dan NS6/DE2 akan bermula pada suku kedua 2026.

Sasaran LTA adalah untuk menyiapkan pembinaan dan memulakan perkhidmatan penumpang DTL2e menjelang 2035.

DTL2e merangkumi tiga stesen – stesen pertama (DE1) selepas stesen Bukit Panjang merupakan stesen bawah tanah yang terletak di sepanjang Sungei Kadut Avenue.

Terminal terakhir baru bagi DTL adalah DE2 yang dihubungkan dengan stesen NS6.

Menurut LTA, apabila siap kelak, DTL2e akan meningkatkan ketersambungan rel di kawasan barat laut, serta mengurangkan masa perjalanan bagi penumpang yang berulang-alik dari bahagian utara dan barat laut Singapura.

“Ia juga akan memberi akses lebih baik ke kawasan pertumbuhan sedia ada dan baru seperti Yew Tee dan Sungei Kadut Eco-District masa hadapan, serta kemudahan riadah seperti Koridor Kereta Api dan Penghubung Taman Pang Sua,” kata LTA.

Terletak di sepanjang Sungei Kadut Avenue dan Sungei Kadut Central, stesen DE1 dan NS6/DE2 akan dibina secara serentak menggunakan Struktur Penahan dan Penstabil Tanah (ERSS) berikutan keadaan tanah yang kompleks seperti granit keras di kawasan tersebut.

“Bagi mengurangkan kesan kepada penumpang NSL, LTA akan merancang dan menyelaraskan kerja dengan agensi berkaitan serta operator NSL, SMRT, untuk menjalankan kerja-kerja ini di luar waktu operasi,” tambah LTA.

Dalam pada itu, ia akan bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan untuk menyediakan semua langkah pengurangan yang diperlukan bagi mengawal habuk dan bunyi pembinaan, serta memastikan keselamatan dan kawalan vektor sentiasa terjamin semasa tempoh pembinaan.

Selain itu, LTA dan kontraktor yang dilantik juga akan bekerjasama rapat dengan penduduk serta pihak berkepentingan untuk mengurangkan sebarang gangguan dan kesulitan yang mungkin timbul, selain memberikan maklumat terkini secara berkala mengenai perkembangan kerja-kerja tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg