Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penumpang digalak naik bas ulang-alik jelang kerja pelarasan 3 bulan Laluan Circle

Jeffrey Siow: 44 bas dua tingkat jalankan empat khidmat pada waktu sibuk pagi, petang
Jan 13, 2026 | 6:48 PM
Penumpang, bas ulang-alik, Laluan Circle
Para penumpang beratur untuk menaiki perkhidmatan bas ulang-alik 37A di stesen MRT Serangoon pada 13 Januari. - Foto ST

Menjelang kerja-kerja penerowongan yang dirancang antara stesen Mountbatten, Dakota dan Paya Lebar, Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, serta pihak berkuasa menggalak para penumpang supaya menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik bagi membiasakan diri mereka dengan laluan alternatif.

Semasa lawatan ke stesen MRT Serangoon pada 13 Januari, Encik Siow mengakui tidak mudah bagi para penumpang membuat penyesuaian kepada jadual harian mereka sepanjang tempoh tiga bulan bermula 17 Januari.

Beliau turut berharap agar penumpang akan mencuba perkhidmatan bas ulang-alik tersebut untuk menilai sama ada jenis pengangkutan dan laluan alternatif yang disediakan sesuai bagi mereka.

Sebanyak 44 bas dua tingkat akan menjalankan empat perkhidmatan ulang-alik pada waktu sibuk pagi dan petang – merangkumi laluan dari Serangoon ke Paya Lebar, Tai Seng ke Bishan, Tai Seng ke Serangoon, dan antara stesen MRT Paya Lebar dan Stadium.

Menurut Pengarah Kumpulan Kanan bagi pengangkutan awam di Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Encik Yeo Teck Guan, sekitar 500 kakitangan tambahan akan bertugas setiap hari untuk membimbing penumpang sepanjang tempoh pelarasan perkhidmatan Laluan Circle (CCL) dari 17 Januari hingga 19 April.

Pihak berkuasa menjangkakan minggu pertama perubahan perkhidmatan itu – iaitu sehingga 24 Januari – mungkin akan “lebih mengelirukan” bagi para penumpang, dengan sebilangan mereka mungkin masih tidak biasa dengan perubahan yang berlaku.

Dalam minggu pertama pelaksanaan perkhidmatan bas ulang-alik pada 5 Januari, sekitar 6,000 penumpang telah menggunakan khidmat bas berkenaan, kata Encik Yeo kepada media.

Semasa tempoh pelarasan perkhidmatan, penumpang yang menggunakan CCL mungkin perlu menunggu sehingga 30 minit pada waktu sibuk kerana kerja pengukuhan terowong.

Apabila ditanya sebab kerja-kerja ini dijalankan pada tempoh yang bertepatan dengan Tahun Baru Cina, Encik Siow berkata:

“Tiada masa yang terbaik untuk menjalankan kerja-kerja ini.”

Beliau menambah pihak berkuasa telah berusaha sebaik mungkin untuk menjadualkan kerja-kerja ini pada tempoh paling sesuai bagi penumpang, sambil mengimbangi keperluan membawa kontraktor dan peralatan untuk kerja-kerja berkenaan.

“Perkara yang paling penting adalah melaksanakan dan menyelesaikan kerja-kerja ini secepat mungkin dan pada masa sama menjamin keselamatan pekerja kerana ini merupakan tempoh panjang bagi kerja-kerja berbahaya,” kata Encik Siow.

Kerja penerowongan akan melibatkan pemasangan plat pengukuhan keluli di terowong sepanjang 450 meter yang menghubungkan stesen Mountbatten, Dakota dan Paya Lebar.

Sepanjang tempoh ini, kereta api ulang-alik akan beroperasi menggunakan satu platform pada selang masa 10 minit, menghubungkan stesen Mountbatten, Dakota dan Paya Lebar, berbanding kekerapan semasa iaitu setiap tiga minit.

Sepanjang tempoh tiga bulan ini, para penumpang juga boleh menjangkakan masa menunggu lebih lama bagi kereta api di sepanjang CCL.

Selang masa perjalanan antara kereta api dari stesen Mountbatten ke Dhoby Ghaut serta Marina Bay akan bertambah, dari enam minit kepada 10 minit.

Purata 480,000 penumpang dijangka terjejas setiap hari.

LTA memaklumkan pada 13 Januari persiapan bagi kerja penerowongan telah bermula sejak pertengahan Disember.

Para kontraktor juga telah menjalani latihan intensif menggunakan replika sempadan terowong berskala penuh di Depoh Kim Chuan, bagi membiasakan diri dengan batasan terowong MRT.

Persiapan lain turut dijalankan di stesen-stesen, termasuk pemasangan paparan digital dan papan tanda bercetak, serta pengerahan kakitangan di stesen untuk mengingatkan para penumpang tentang pelarasan perkhidmatan akan datang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg