Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

LTA: Kereta api Laluan Daerah Jurong pertama tiba di S’pura

Sep 25, 2025 | 8:08 PM
Antara ciri kereta api baru itu termasuk pintu dan ruang gerabak yang lebih lebar, sesuai untuk pengguna kerusi roda dan penumpang yang membawa kereta sorong bayi.
Antara ciri kereta api baru itu termasuk pintu dan ruang gerabak yang lebih lebar, sesuai untuk pengguna kerusi roda dan penumpang yang membawa kereta sorong bayi. - Foto TANGKAP LAYAR FACEBOOK LTA

Kereta api pertama bagi Laluan Daerah Jurong (JRL) sepanjang 24 kilometer, yang akan menghubungkan kawasan utama di barat Singapura, telah tiba di negara ini.

Dihasilkan di Korea Selatan oleh Hyundai Rotem, ia merupakan antara 62 kereta api tiga gerabak yang akan beroperasi di laluan MRT ketujuh Singapura itu.

Jika diperlukan, kereta api itu boleh diperluas menjadi empat gerabak bagi menampung peningkatan dalam bilangan penumpang, menurut laman web Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Antara ciri kereta api itu termasuk pintu dan ruang gerabak yang lebih lebar, sesuai untuk pengguna kerusi roda dan penumpang yang membawa kereta sorong bayi.

Walaupun ruang dalam gerabak lebih luas, saiz gerabak itu sendiri lebih kecil “untuk memudahkan perjalanan melalui selekoh tajam laluan JRL”, kata LTA dalam satu kiriman Facebook pada 25 September yang mengumumkan ketibaan kereta api tersebut.

Sebuah laman web bebas yang menumpukan kepada sistem pengangkutan awam, Land Transport Guru, mengongsi sebuah video YouTube yang menunjukkan gerabak kereta api dipindahkan menggunakan trak trailer.

Gerabak kereta api yang ditunjukkan dalam video tersebut mempunyai warna sama seperti  kereta api baru JRL, dan video tersebut dimuat naik pada 17 September.

Dari sekarang hingga 2028, 61 kereta api akan dihantar ke Singapura, dengan JRL dijangka dibuka secara berperingkat antara 2027 dengan 2029.

Sementara itu, satu-satunya kereta api yang baru tiba itu akan melalui ujian penyepaduan sistem di Depoh Tengah bagi mempersiapkannya untuk operasi.

JRL, yang mempunyai 24 stesen atas tanah, akan dikendalikan melalui usaha sama antara pengendali kereta api SBS Transit Rail dan syarikat pengangkutan Perancis, RATP Dev Asia Pacific.

Ini merupakan kali pertama pengendali asing terlibat dalam industri kereta api Singapura, lapor The Straits Times (ST).

Semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan pada Mac, mantan Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, mengumumkan bahawa satu laluan lanjutan akan dibina untuk menghubungkan JRL dengan Laluan Rentas Pulau (CRL) dan Laluan Circle (CCL).

Dinamakan Lanjutan West Coast, fasa pertama akan menyaksikan stesen Pandan Reservoir di JRL dihubungkan dengan stesen West Coast di CRL menjelang akhir 2030-an.

Fasa kedua akan menghubungkan JRL dari stesen West Coast ke stesen Kent Ridge di CCL menjelang awal 2040-an.

Menurut Encik Chee, peluasan itu akan meningkatkan ketersambungan pengangkutan awam di barat dan menjimatkan hingga 20 minit perjalanan dari bahagian barat Singapura ke pusat bandar.

Apabila rancangan itu pertama kali dikemukakan pada 2015, pelan awal adalah untuk menyambungkan JRL dengan CCL melalui stesen Haw Par Villa.

Namun, stesen Kent Ridge dianggap pilihan lebih sesuai selepas mengambil kira faktor seperti unjuran permintaan pengangkutan dan pembangunan masa depan, kata LTA.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg