Letak basikal anda dengan betul, atau berisiko ia dialihkan, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) yang kini meningkatkan pemeriksaan di lokasi pengangkutan utama. 

Sejak awal 2026, sebanyak 186 basikal dan peranti lain telah dialihkan dari kawasan letak basikal di Yishun, Paya Lebar, Sengkang East dan kawasan lain, kata LTA dalam satu hantaran Facebook pada 29 Jun.

Ini berikutan pemeriksaan yang dipertingkatkan ke atas basikal yang diletak secara sembarangan dan basikal terbiar di kawasan itu, dalam usaha untuk mengurus kemudahan letak basikal di Singapura dengan lebih baik, serta membolehkan ruang itu untuk pengguna lain, kata pihaknya. 

Pasukan penguatkuasaan akan terus menjalankan pemeriksaan secara berkala, kata LTA, sambil menambah bahawa basikal yang ditinggalkan atau diletak secara tidak betul akan ditampal dengan notis.

Basikal sedemikian yang tidak dialihkan dalam tempoh yang ditetapkan boleh disita, tambah LTA.