Selepas sertai satu kursus ulang kaji mengenai cara memandu dengan selamat pada 5 Februari, pengetahuan yang dibawa pulang oleh kapten bas, Encik Mohammad Fahmi Yahaya, adalah perlunya lebih bersabar di jalan raya.
“Jika anda hilang sabar, anda mula melakukan perkara yang mungkin tidak begitu selamat,” kata pemandu bas dengan tujuh tahun pengalaman bekerja itu kepada The Straits Times (ST).
Encik Fahmi, 47 tahun, memandu khidmat bas 70 dari Pusat Pertukaran Bas Yio Chu Kang ke Shenton Way.
Laluan itu dikendalikan pengendali pengangkutan awam SBS Transit (SBST).
Matlamat kursus ini adalah untuk mengajar pemandu bas awam cara mengenali dan bertindak balas terhadap situasi berbahaya yang mungkin mereka hadapi.
Mereka juga mendapat peluang mempraktikkan jenis tindak balas ini dalam simulator.
Encik Fahmi berkata kursus itu mengukuhkan kepentingan “semua aspek keselamatan yang perlu kami ketahui setiap hari”.
Beliau adalah antara lebih 4,000 pemandu bas yang telah menamatkan kursus ulang kaji itu sejak ia dilancarkan pada Ogos 2022.
Sehingga Disember 2024, kira-kira 40 peratus daripada semua pemandu bas di sini telah menamatkan kursus tersebut, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) kepada ST.
Terdapat kira-kira 9,500 pemandu bas awam di Singapura.
Akademi Bas Singapura (SGBA) akan bekerjasama dengan pengendali pengangkutan awam SBST, SMRT Buses, Tower Transit Singapore (TTS) dan Go-Ahead Singapore (GAS) untuk buat perancangan bagi semua pemandu bas menghadiri kursus itu dalam beberapa bulan akan datang, kata LTA.
SGBA telah ditubuhkan oleh LTA pada 2016 sebagai sebuah akademi berpusat untuk menyediakan program latihan bagi perusahaan bas.
Walaupun kursus ulang kaji itu, yang dikenali sebagai BC Drive Safe, tidak diwajibkan buat masa ini, LTA berkata matlamatnya adalah bagi mendapatkan semua pemandu bas menghadirinya.
Kursus ini memberi tumpuan kepada usaha memupuk budaya memandu dengan selamat.
Satu pasukan petugas yang ditubuhkan pada 1 Julai 2024 untuk meneliti keselamatan bas awam di sini dijangka menyelesaikan semakannya pada separuh pertama 2025.
Kumpulan itu, yang diketuai Menteri Negara (Pengangkutan), Encik Murali Pillai, ditubuhkan berikutan beberapa kemalangan yang melibatkan bas awam.
LTA menyatakan pada 7 Februari, jumlah kemalangan serius setiap tahun yang melibatkan bas awam di Singapura kekal stabil sejak beberapa tahun lalu.
Terdapat 185 kemalangan pada 2024, berbanding 200 pada 2023 dan 191 pada 2022.
Media telah dijemput ke SGBA untuk menghadiri kursus itu, yang berlangsung tiga kali seminggu, pada awal Februari.
ST menghadiri kursus ulang kaji itu bersama 14 pemandu bas daripada empat pengusaha bas awam itu.
Sesetengah pemandu dalam setiap kelas mempunyai pengalaman memandu yang kurang, manakala yang lain mempunyai lebih banyak pengalaman memandu bas selama bertahun-tahun lamanya.
Menggunakan rakaman kamera pemuka sebenar kemalangan atau kejadian tidak diingini yang nyaris-nyaris berlaku di jalan raya Singapura, pemandu diajar mengenali situasi yang mungkin berbahaya dan cara bertindak balas dengan sewajarnya.
Pemandu juga dapat berlatih dalam simulator kira-kira empat jam.
SGBA mempunyai 18 simulator bas, termasuk lapan simulator kabin penuh yang meniru konsol pemandu, panel instrumen dan ciri pemanduan pelbagai jenis bas.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg